X

Kindly register in order to view this article
!

TTS, PGU pergiat pantau udara banteras aktiviti bom ikan

Sebuah bot peronda Taman-Taman Sabah mengejar sebuah pam bot yang menceroboh masuk menangkap ikan di kawasan Taman-Taman Sabah dekat Pulau Suluk dalam operasi mengesan aktiviti mengebom ikan di kawasan Taman-Taman Sabah hari ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Taman-Taman Sabah (TTS) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempergiat pemantauan udara bagi membanteras kegiatan pengeboman ikan di kawasan perairan Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR).

Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan dan Operasi) TTS, Maipol Spait berkata, rondaan melalui udara dilihat berkesan untuk memastikan tiada pencerobohan dan aktiviti bom ikan berlaku di kawasan berkenaan.

“Semalam kita menerima aduan ada aktiviti bom ikan berlaku di kawasan TTAR dan kita telah melaporkan perkara itu kepada polis marin dan suspek berjaya ditahan.

“Kebiasaannya apabila terjadi aktiviti pengeboman ikan di luar kawasan TTAR, penyelam yang melakukan aktiviti menyelam di kawasan TTAR akan mendengar dan terkena kesan daripada letupan itu walaupun ia berlaku kira-kira dua atau tiga kilometer daripada kawasan terbabit. Disebabkan itu, penyelam menyangka ia berlaku berhampiran mereka,” katanya.

Kawasan pantai Taman-Taman Sabah Pulau Suluk yang sering menjadi sasaran para pengebom ikan melakukan aktiviti mengebom ikan. - Foto Bernama
Kawasan pantai Taman-Taman Sabah Pulau Suluk yang sering menjadi sasaran para pengebom ikan melakukan aktiviti mengebom ikan. - Foto Bernama

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas melakukan pemantauan udara di kawasan Taman Marin TTAR bersama PGU PDRM Sabah di sini hari ini.

Terletak tidak jauh dari pusat bandar Kota Kinabalu, TTAR meliputi lima pulau yang menjadi lokasi tumpuan pelancong boleh dikunjungi dengan menaiki bot hanya mengambil masa 20 minit.

Mempunyai keluasan kira-kira 4,929 hektar, Pulau Gaya dan Pulau Sapi diwartakan sebagai TTAR mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 1974 manakala Pulau Manukan, Mamutik dan Sulug pula diwartakan pada 1979.

Maipol berkata, ia adalah operasi pemantauan udara pertama dilakukan dengan kerjasama PGU PDRM Sabah dan akan dilaksanakan lebih kerap selepas ini.

“Semasa pemantauan hari ini, kita mendapati dua bot pam berada di kawasan TTAR dan telah menghubungi peronda berhampiran bot berkenaan untuk membuat pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu sedang memancing dan peronda telah mengarahkan bot terbabit keluar daripada kawasan TTAR,” katanya.

Beliau berkata, TTS bercadang perluaskan kerjasama pemantauan udara itu ke kawasan lain termasuk di kawasan darat bagi membanteras pencerobohan dan pada masa sama menggerakkan semua aset untuk melakukan operasi sama ada di kawasan perairan TTS atau di hutan simpan. - Bernama