Mahdzir sangkal dakwaan jadikan Najib 'kambing hitam'

Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid membantah cadangan peguam bahawa beliau sengaja menjadikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai 'kambing hitam' dalam kes berkaitan projek tenaga solar.

Penafian itu dibuat Mahdzir yang merupakan saksi pendakwaan kelima di Mahkamah Tinggi hari ini ketika pemeriksaan balas oleh peguam mewakili Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Akberdin merujuk keterangan Mahdzir sebelum ini bahawa beliau pada mulanya mengelak pertemuan dengan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin berkenaan projek itu dan kemudian setuju untuk menganugerahkannya kepada syarikat tersebut.

Akberdin: Pada mulanya anda mengelak Saidi, kemudian anda kata (kepada Saidi) kena ikut prosedur, kemudian anda akui ada peraturan yang tak diikuti (oleh Jepak berkaitan projek itu), kemudian anda cari kambing hitam dan tolak ke Perdana Menteri (kata) kononnya dia beri arahan.

Mahdzir: Tak setuju.

Mahdzir juga tidak setuju dengan cadangan peguam utama Datuk Jagjit Singh ketika pemeriksaan balas bahawa beliau juga mengalihkan tanggungjawab dalam soal itu kepada Rosmah.

Keadaan tegang seketika apabila Jagjit menuduh Mahdzir tidak konsisten dalam keterangan saksinya.

Jagjit: Anda tidak konsisten.

Artikel Berkaitan:

Mahdzir: Dari awal anda nak saya begitu (dilihat tidak konsisten).

Jagjit: Sampai mati pun saya boleh teruskan soal seperti ini (buat pemeriksaan balas).

Mahdzir: Janganlah.

Selepas respons Mahdzir itu, tercetus gelak ketawa di mahkamah termasuk Jagjit dan Mahdzir yang sedikit meredakan ketegangan.

Rosmah berdepan tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah dari Jepak Holdings sebagai habuan mendapatkan kontrak dari Kementerian Pelajaran.

Kontrak ini membabitkan bekalan sistem hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.