MDPP tempatkan penguat kuasa di Pantai Bisikan Bayu

Laporan Sinar Harian berkaitan Pantai Bisikan Bayu yang dipenuhi sampah sarap.
Laporan Sinar Harian berkaitan Pantai Bisikan Bayu yang dipenuhi sampah sarap.
A
A
A

PASIR PUTEH - Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) sudah menambah bilangan tong sampah di sekitar kawasan Pantai Bisikan Bayu, Semerak dalam usaha memastikan lokasi tumpuan pelancong itu berada dalam keadaan bersih.

Setiausaha MDPP, Rosdi Ya’acob berkata, selain itu pihaknya telah menempatkan kakitangan dari Unit Kebersihan dan Penguatkuasaan bagi melakukan pemantauan secara berjadual di kawasan tersebut.

"Penempatan anggota dari unit itu juga bertujuan mendidik pengunjung supaya tidak membuang sampah sesuka hati jika tidak mahu berdepan tindakan tegas.

"Kita ambil serius aspek kebersihan di kawasan tersebut walaupun ia adalah tanah milik persendirian dan MDPP telah mengambil tanggungjawab dengan membersihkan lokasi pelancongan itu," katanya.

Menurutnya, MDPP telah mengatur tindakan pembersihan sisa pepejal dengan menjalin kerjasama dengan jabatan dan agensi lain yang dijangka akan diselesaikan pada minggu ini.

Katanya, MDPP amat berharap melalui pendedahan dan penjelasan ini, masyarakat dapat sama-sama menjaga kebersihan di kawasan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pantai Bisikan Bayu dipenuhi sampah

"Berilah kerjasama sepenuhnya kepada MDPP dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat dalam usaha untuk bersama-sama mengekalkan kebersihan, keceriaan dan keindahan Pantai Bisikan Bayu.

"Bantulah MDPP dengan menjaga kebersihan dan keindahan kawasan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan MDPP melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan Pantai Bisikan Bayu.
Kakitangan MDPP melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan Pantai Bisikan Bayu.

Rosdi berkata, MDPP telah mengambil inisiatif dengan melakukan perancangan dan menyediakan pelan pembangunan kawasan Pantai Bisikan Bayu.

Katanya, langkah itu merupakan salah satu usaha untuk mencantikkan dan menyediakan kemudahan yang sesuai sebagai salah satu pusat pelancongan.

"Komponen pembangunan yang dicadangkan terdiri daripada medan selera, dataran utama, taman refleksologi, gerai makan, surau, tandas, dewan terbuka, gazebo, lampu pencahayaan, bangku, meja, kawasan rekreasi, parkir bas, parkir kenderaan lain, kawasan penempatan penjaja dan sebagainya.

"Justeru, permohonan peruntukan untuk membiayai kos pembangunan tersebut sedang dinilai dan dipertimbangkan oleh pihak yang berkenaan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan timbunan sampah sarap yang tidak diurus dengan baik selain sikap kurang cakna para pengunjung terhadap kebersihan menjadikan kawasan Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini semakin hilang 'seri' sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri ini.

Kakitangan MDPP melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan Pantai Bisikan Bayu.