Yapeim perkenal At-Tawarruq

Parihah bersama bersama Timbalan Ketua Pegawai Operasi Grup Ultimate, Azizi Fikry meneliti hasil percetakan sewaktu lawatan ke kilang percetakan Kumpulan Karangkraf di Shah Alam semalam. - Foto: Asril Aswandi Shukor
Parihah bersama bersama Timbalan Ketua Pegawai Operasi Grup Ultimate, Azizi Fikry meneliti hasil percetakan sewaktu lawatan ke kilang percetakan Kumpulan Karangkraf di Shah Alam semalam. - Foto: Asril Aswandi Shukor
A
A
A

YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) terus menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya menerusi pengenalan konsep terbaharu, At-Tawarruq di kesemua 203 cawangan tetap Ar-Rahnu Yapeim termasuk sembilan perkhidmatan kaunter bergerak Yapeim (PKBY) bermula 7 Februari lalu.

Pemangku Ketua Pengarah Yapeim, Parihah Hasan berkata, pihaknya melalui Ar-Rahnu Yapeim adalah peneraju dalam perkhidmatan Ar-Rahnu sejak 1993.

Katanya, penawaran perkhidmatan Ar-Rahnu atau pajak gadai Islam itu adalah berasaskan konsep syariah yang bertujuan menambah baik dari masa ke masa dan terkini konsep At-Tawarruq diperkenalkan.

“At-Tawarruq ialah konsep berdasarkan pematuhan syariah yang digariskan selaras dengan keputusan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (MPS BNM) 2018-2019 dalam Polisi Dokumen Rahn.

“Konsep terbaharu ini merupakan dimensi penting kepada perkhidmatan makro kredit Ar-Arahnu Yapeim yang sentiasa peka dengan perkembangan muamalat Islam dan terus ditambah baik,” katanya kepada Bisnes Sinar selepas membuat kunjungan ke ibu pejabat Sinar Harian di Shah Alam semalam.

Menjelaskan mengenai definisi At-Tawarruq, Parihah berkata, ia merujuk kepada transaksi jual beli komoditi berasaskan pembayaran tangguh secara musawamah daripada penjual kepada pelanggan dan kemudiannya komoditi tersebut akan dijual semula secara tunai kepada pihak ketiga selain daripada penjual asal bagi mendapatkan tunai.

“Sebenarnya apabila kami melaksanakan konsep baharu ini masyarakat khususnya pelanggan kami tidak perlu bimbang kerana transaksi dan urus niaga masih sama.

“Malah, kami tidak mengenakan caj kepada pelanggan untuk sebarang kos yang terlibat apabila kami bertukar kepada konsep baharu ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Buat masa ini, beliau berkata, sambutan diterima berhubung konsep berkenaan tetap sama kerana ramai yang menggunakan Ar-Rahnu bagi tujuan lain antaranya perniagaan dan pendidikan.

“Ar-Rahnu Yapeim mempunyai produk iaitu Ar-Rahnu Bisnes, Ar-Rahnu Didik dan Ar-Rahnu Emas yang mana ia untuk pembeli atau pemegang emas Yapeim Gold. Produk kami yang terus- menerus mendapat sambutan ialah Ar-Rahnu Prestige yang mana boleh digunakan untuk sebarang tujuan.

“Kami memberikan margin yang tinggi iaitu untuk Ar-Rahnu Bisnes sebanyak 80 peratus, Ar-Rahnu Emas (80 peratus), Ar-Rahnu Didik (75 peratus) yang mana kesemua produk ini dikenakan upah simpan yang kompetitif,” katanya.

Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub (duduk, tiga dari kiri) bersama Parihah (duduk, empat dari kanan) selepas selesai sesi lawatan ke Ibu Pejabat Sinar Harian di Shah Alam semalam. - Foto: Asril Aswandi Shukor
Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub (duduk, tiga dari kiri) bersama Parihah (duduk, empat dari kanan) selepas selesai sesi lawatan ke Ibu Pejabat Sinar Harian di Shah Alam semalam. - Foto: Asril Aswandi Shukor

Tambahnya, skim mikro kredit yang ditawarkan di Ar-Rahnu Yapeim adalah berasaskan kepada tiga konsep syariah iaitu Ar-Rahn, Al-Wadiah Yad Dhamamah dan Al-Qard yang kemudiannya ditukarkan kepada Tawarruq, Ijarah Al-Khadamat, Musawamah, Wakalah dan Ar-Rahn.

Parihah menjelaskan, keperluan bertukar kepada konsep baharu itu adalah kerana terdapat perbezaan pendapat atau khilaf dalam penggunaan konsep sedia ada.

Katanya, pengaplikasian konsep baharu ini adalah berdasarkan pematuhan syariah yang terus ditambah baik tanpa sebarang caj tambahan.

“Pelanggan hanya dikenakan bayaran upah simpanan dan caj pengurusan jualan sekiranya berlaku.

“Di samping itu, tiada sebarang perubahan kepada had margin pembiayaan dan kadar upah simpanan mengikut produk sedia ada,” katanya.

Menjelaskan mengenai proses pembiayaan At-Tawarruq, beliau berkata, pembiayaan akan melibatkan pembelian komoditi secara hutang dan penjualan semula secara tunai kepada pihak ketiga.

“Proses pembiayaan ini berlangsung apabila; pertama pelanggan yang ingin mendapatkan wang tunai membeli komoditi daripada Ar-Rahnu Yapeim dengan bayaran tangguh untuk tempoh tertentu; kedua, pelanggan tersebut mewakilkan Ar-Rahnu Yapeim menjualkan semula komoditi berkenaan kepada pihak ketiga secara tunai dan ketiga, melalui cara ini pelanggan tersebut telah berhutang tetapi berjaya mendapatkan tunai melalui jualan tunai daripada pihak ketiga,” katanya.

Tambahnya, barang emas yang dicagarkan menjadi cagaran bagi bayaran harga tangguh berdasarkan kontrak Ar-Rahn.

“Kaedah ini sepakat diterima dari segi syarak kerana akad hutang dan jual beli tunai melibatkan pihak berlainan,” katanya.