Perbuatan Rashid tolak usul pembangkang dilihat tidak demokratik

Dewan Rakyat -Foto Bernama
Dewan Rakyat -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menolak usul Pas untuk melakukan undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tidak demokratik.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini lantang memperjuangkan kebebasan bersuara terutama di Parlimen.

“Kita lihat perlu ada kebebasan bersuara di Dewan Rakyat kerana ini yang dilaungkan kerajaan sebelum ini. Jadi kebebasan bersuara perlu diberikan kepada semua pihak atas nama demokrasi.

“Dalam konteks ini, jika ada suara untuk menyekat apa yang disyorkan atau dilaksanakan pembangkang, saya lihat ini tidak berlandaskan kepada pegangan sebagai sebuah Parlimen yang demokratik,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Md Shukri berkata, seseorang yang memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan atau Timbalan Yang Dipertua Dewan perlu bertindak sebagai penimbangtara dengan memberikan alasan yang rasional dan bukan bersifat subjudis.

“Ini menunjukkan sesuatu perkara telah diputus sebelum kejadian itu dilakukan atau sebelum usul itu belum dibawa ke dalam Parlimen. Jadi perkara ini tidak patut berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat diberikan kepada individu yang lebih profesional.

Beliau juga berpendapat adalah lebih baik Pas dibenarkan untuk membawa usul tersebut daripada membawa perkara itu ke jalanan, sekaligus menunjukkan kematangan pembangkang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada komen selagi tak terima usul, kata Speaker Dewan Rakyat

Pas tetap sokong kepimpinan Dr Mahathir

Semalam, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, dalam Perkara 18(2), Yang Dipertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa mutlak sama ada mahu menerima atau menolak mana-mana usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen.

Menurutnya, dalam Perkara 7(1) memperuntukkan bahawa tugas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat hanyalah untuk mempengerusikan Dewan jika Yang Dipertua tidak hadir.

“Alasan yang digunakan oleh Mohd Rashid, mengikut akhbar Berita Harian ialah ‘usul yang ingin dibawa Pas itu tidak menyentuh kepentingan umum dan tidak perlu disegerakan’.

“Langsung tidak disebut dalam Perkara 18(2) mengenai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tetapi yang disebut hanyalah mengenai Yang Dipertua Dewan Rakyat, menunjukkan ini adalah kuasa mutlak Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus turut mempersoalkan bagaimana Mohd Rashid boleh menolak usul berkenaan sedangkan surat belum pun diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat,