Pemandu sebabkan kemalangan tidak boleh dihukum mati

ROZLIM- Foto: MOHD IZARI ROSLI
ROZLIM- Foto: MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

SHAH ALAM - Kes bunuh dan kemalangan jalan raya termasuk yang menyebabkan kematian adalah dua kes yang berlainan dan tidak boleh dikenakan hukuman yang sama iaitu gantung sampai mati.

Pegawai Turus Kes Profil Tinggi & Kajian Kes, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Rozlim Che Ali berkata, ini kerana kes-kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan parah, ringan atau maut ia dikategorikan sebagai kes 'quasi criminal'.

Beliau berkata, kes-kes lalu lintas di bawah 'quasi criminal' ini hanya memadai dibuktikan dengan tindakan tetapi berbeza dengan kes bunuh kerana terdapat dua perkara yang perlu dibuktikan iaitu niat serta tindakan.

"Bagi kes bunuh jika dapat dibuktikan niat seseorang pelaku itu serta tindakannya, baru kita boleh tuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Tetapi dalam kes kemalangan, sukar untuk kita buktikan niat seseorang itu walaupun tindakannya mendatangkan kematian," katanya ketika disoal mengapa pemandu mabuk yang menyebabkan kematian kepada orang lain tidak dikenakan hukuman gantung sampai mati seperti pesalah kes bunuh.

Beliau berkata demikian pada Wacana Siri 156 bertajuk Pemandu Mabuk: Perlukah Hukuman Lebih Berat? di Dewan WUI, Bangunan Sinar Harian di sini malam ini.

Rozlim berkata, disebabkan itu, dalam kes-kes kemalangan polis hanya mengambil apa tindakan yang dilakukan pemandu tersebut dan jika boleh disabitkan sebagai punca kemalangan yang menyebabkan kematian kepada orang lain, ia sudah cukup untuk menuduh pelaku tersebut di mahkamah.

Wacana yang dimoderatorkan oleh Amin Idris itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pengarah Pusat Penyelidikan Perubahan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Low Suet Fin dan Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) Kebangsaan, Profesor Madya Dr Kulanthayan Kc Mani.

Artikel Berkaitan: