Empat kontak rapat warga Singapura di Perak bebas koronavirus

Dr Ding Lay Ming
Dr Ding Lay Ming
A
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengesahkan empat kontak rapat kepada kes jangkitan koronavirus di Singapura yang berada di Pusing di sini bebas daripada wabak berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, keempat-empat kontak berjaya dikesan dan tiada seorang pun yang mengalami gejala jangkitan salur pernafasan.

"Kesemua mereka dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk disaring dan sampel klinikal diambil.

"Hasil ujian pengesahan yang dijalankan menunjukkan keempat-empat kontak rapat ini adalah negatif novel koronavirus, mereka kini diletakkan di bawah perintah pemerhatian dan pengawasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan melalui Malaysia International Health Regulation (IHR) Focal Point telah dimaklumkan oleh Singapore IHR Focal Point berkenaan kes positif ke-39 koronavirus membabitkan seorang warga Singapura yang mempunyai sejarah ke Malaysia pada 23 Januari hingga 2 Februari lepas.

Katanya, warga berkenaan disahkan positif jangkitan melalui ujian makmal pada 8 Februari di Singapura.

"Pihak Singapore IHR Focal Point juga memaklumkan terdapat empat warga Malaysia tersenarai di dalam kontak rapat kes berkenaan.

"Berdasarkan maklumat yang diberikan itu, siasatan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta bagi pengesanan kontak rapat berikut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lay Ming berkata, langkah pencegahan dan kawalan dijalankan sebaiknya bagi memastikan penularan penyakit itu dapat dibendung.

"Orang awam diminta untuk sentiasa memberi kerjasama semasa siasatan bagi memastikan aktiviti ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan," katanya.

Orang ramai yang memerlukan penerangan mengenai penyakit itu atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesuatu kejadian penyakit boleh menghubungi hotline CPRC Perak di talian 05-2433962.