Sinar Harian nafi anjur debat malam esok

Poster palsu yang ditularkan dalam media sosial hari ini.
Poster palsu yang ditularkan dalam media sosial hari ini.
A
A
A
SHAH ALAM - Akhbar Sinar Harian menafikan satu poster palsu yang disebarkan menerusi media sosial mengenai penganjuran program Debat Sinar.

Poster palsu itu menyatakan penganjuran debat tersebut bertajuk Mana Lebih Bahaya Duit Dadah DAP Atau Rasuah Najib? yang akan diadakan pada malam esok.

Turut dipaparkan dalam poster palsu itu ialah kehadiran Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin berkata, poster berkenaan dihasilkan melalui kaedah suntingan daripada poster asal penganjuran Debat Sinar pada 20 November 2019 lalu.

”Tajuk asal poster berkenaan adalah Malaysia Baharu: Pemimpin Tak Amal Politik Matang yang membariskan ahli panel sama.

”Penyebaran poster palsu itu adalah tidak bertanggungjawab dan mencemarkan nama program anjuran akhbar Sinar Harian.

"Saya berharap orang ramai terutama pembaca akhbar Sinar Harian tidak terpedaya dengan penyebaran poster ini dan mendapatkan maklumat rasmi dan sah daripada laman web dan media sosial rasmi Sinar Harian sahaja," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Baharom berkata, program sebenar yang dianjurkan pada malam ini ialah Wacana Sinar Harian Siri 156 yang bertajuk Pemandu Mabuk: Perlukan Hukuman Lebih Berat?

Program tersebut akan berlangsung di Bangunan WUI, Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada 11 Februari bermula jam 8.30 malam.
Artikel Berkaitan:


Program tersebut dikendalikan oleh Amin Indris dan disertai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubahan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Dr Low Suet Fin.

Turut menjadi ahli panel ialah Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan (MKJR), Prof Dr Kulanthayan KC Mani dan Pegawai Turus Kes Profil Tinggi dan Kajian Kes, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Rozlim Che Ali.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyaksikan program itu secara langsung menerusi laman web www.sinarharian.com.my.