X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada mekanisme khusus kemuka usul percaya atau tidak percaya

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar
A
A

SHAH ALAM - Tiada mekanisme khusus untuk mengemukakan usul percaya atau tidak percaya di Dewan Rakyat kepada kerajaan atau Perdana Menteri di negara ini, kata bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, di Dewan Rakyat terdapat peraturan-peraturan tertentu dan ia ditadbir oleh Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang Hak dan Kuasa Dewan Akta 1952/The Houses of Parliament (Priviliges and Powers) Act 1952 Revised 1988 serta Peraturan Dewan Rakyat.

Menurutnya, berdasarkan peraturan atau undang-undang berkenaan, tiada satu pun cara diletakkan yang menunjukkan bagaimana untuk membawa satu-satu usul ke Dewan Rakyat bagi menjatuhkan kerajaan atau Perdana Menteri.

"Tiada langsung diletakkan atau diberitahu tentang cara tersebut kerana dari awal lagi, kalau kita lihat memang itu adalah salah satu kemahuan pihak yang menggubal peraturan tersebut iaitu tidak memberikan cara bagaimana nak buat (kemukakan usul).

"Lagipun usul percaya atau tidak percaya ini jika dibuat oleh ahli Parlimen ia hanya akan menjadi usul peribadi dan peratusan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat juga tidak ada kerana sebarang usul yang hendak dibentang tidak boleh mendahului urusan kerajaan.

"Kalau nak hantar usul itu ke Dewan Rakyat boleh hantar dan setiausaha akan terima kemudian masukkan dalam rekod serta kertas urusan harian, tapi ia akan dikebelakangkan kerana keutamaan akan diberi kepada urusan kerajaan dahulu untuk dibahaskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tetap sokong kepimpinan Dr Mahathir

Terdahulu, Pas dilaporkan mahu mengemukakan usul percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyatakan pendirian asal parti Islam itu yang mahu beliau kekal sebagai Perdana Menteri sehingga ke akhir penggal.

Usul percaya itu dijangka akan dikemukakan di Dewan Rakyat pada Sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Dalam pada itu Wan Junaidi berkata, melainkan jika usul percaya/tidak percaya tersebut dibawa oleh kerajaan atau mana-mana menteri dengan mengikut peraturan, maka ia tidak memerlukan notis.

"Ini bermakna usul itu boleh dibahas dan diundi di Dewan Rakyat, tetapi persoalannya ada ke mana-mana menteri yang mahu membawa usul menjatuhkan kerajaan sendiri atau Perdana Menteri?

"Jadi saya tidak lihat perkara ini boleh berlaku, melainkan jika kerajaan/Perdana Menteri membuat keputusan meminta menteri membawa usul berkenaan dan ia harus dimaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat.

"Perlu diingat bahawa dalam Dewan rakyat, Speaker mesti mendahulukan kerajaan dan kalau usul itu dari menteri bermakna ia adalah urusan kerajaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!