Jenazah Abam Bocey selamat dikebumikan

Ahli keluarga menyiram air ke pusara Allahyarham Abam selepas selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Ahli keluarga menyiram air ke pusara Allahyarham Abam selepas selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

GOMBAK - Jenazah pelawak terkenal, Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, yang juga anggota kumpulan Bocey selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu di sini kira-kira jam 7.30 petang tadi.

Allahyarham meninggal dunia di rumahnya di Kampung Sungai Salak Batu 10 Gombak ketika tidur.

Terdahulu, jenazah tiba di Masjid Gombak Utara (Zakaria) kira-kira jam 5.10 petang untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.

Lebih 2,000 orang hadir di masjid berkenaan untuk memberikan penghormatan terakhir termasuk rakan artis antaranya Achey, Fizo Omar, Tomok, Black dan AC Mizal.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Hidayah Mohd Ali, 28, dan anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al- Juffrey berusia lapan bulan.

Abam bersama Fad dan Achey menganggotai kumpulan Bocey dan pernah menjuarai Maharaja Lawak Mega pada 2017.

ARTIKEL BERKAITAN Pelawak Abam Bocey meninggal dunia

Artikel Berkaitan:

"Arwah Abam beritahu saya supaya menjaga diri dan dia beritahu akan cuba hadir ke majlis perkahwinan saya nanti walaupun dia sedang sibuk," kata adik ipar kepada pelawak terkenal, Abam yang meninggal dunia di kediamannya di Gombak, pagi tadi.

Muhammad Zainuddin Mohd Ali, 26, berkata, bagaimanapun hasrat abang iparnya itu tidak kesampaian apabila pelawak berkenaan meninggal dunia, pagi ini.

"Arwah beritahu saya supaya jaga diri dan bakal isteri dengan baik sementara menanti hari bahagia itu," katanya yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 29 Februari ini.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Gombak Utara (Zakaria). -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Jenazah disembahyangkan di Masjid Gombak Utara (Zakaria). -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Muhammad Zainuddin berkata, kali terakhir dia menemui Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, ketika abang iparnya itu mengunjungi keluarganya di Taman Air Manis, Sabak Bernam, semasa cuti Tahun Baharu Cina.

"Arwah makan mentarang bersama kami sekeluarga kerana kebetulan ayah ada bawa pulang mentarang dari Pulau Pinang.

"Arwah juga bermalam sehari di rumah kami dan sebelum pulang ke Gombak, beliau belanja kami makan ikan bakar di Hutan Melintang, Perak," katanya.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai kematian arwah Abam selepas dihubungi kakaknya yang juga isteri pelawak berkenaan, Siti Nurhidayah Mohd Ali, 28, ketika berada rumah pada jam 8 pagi, hari ini.

"Tanpa berlengah kami sekeluarga terus bergegas ke Hospital Selayang," katanya.

Tambah Muhammad Zainuddin, Allahyarham Abam disifatkan sebagai seorang abang ipar yang baik, peramah, mengambil berat dan suka berjenaka serta gemar memberi nasihat.

"Ketiadaan arwah amat terasa dan kami sekeluarga sedih, namun tetap reda dengan ketentuan-Nya," katanya.

Jenazah Allahyarham Abam dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu, Gombak untuk disemadikan. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Jenazah Allahyarham Abam dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Pusu, Gombak untuk disemadikan. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB