Bekas jurulatih menembak MSN didakwa sebabkan kematian lelaki

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas jurulatih menembak Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menyebabkan kematian dengan niat terhadap seorang lelaki 10 tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Zamil Ahmad Murad, 59, mengaku tidak bersalah terhadap pendakwaan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat menyebabkan kematian Syed Haikar Iskandar Syed Mahdzar, 34, di kawasan semak di belakang sebuah rumah di Gong Badak, Kuala Nerus antara jam 4.15 petang hingga 4.30 petang pada 1 Februari 2010.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah seterusnya menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri pada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan di Balai Polis Bandar Kinrara, Puchong, Selangor dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Ahmad Marzuki Nik Mohamad, Zulfazliah Mahmud dan Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam daripada The Chambers of Kamarul Hisham & Hasnal.

Dalam kejadian pada 1 Februari 2010, seorang lelaki ditembak mati ketika cuba memecah masuk ke rumah jurulatih menembak MSN itu melalui pintu belakang.

Artikel Berkaitan:

Jurulatih terbabit yang ketika itu berada di pusat latihan menembak pulang ke rumahnya selepas dihubungi isterinya yang memaklumkan ternampak kelibat lelaki cuba memecah masuk ke rumah mereka.