Pas berhak kemuka usul undi percaya

Dewan Rakyat - Foto Bernama
Dewan Rakyat - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada halangan bagi Ahli Parlimen untuk mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri.

Pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, terdapat ruang dalam Dewan Rakyat bagi Ahli Parlimen berbuat demikian mengikut prosedur tertentu.

Menurutnya, jika usul yang ingin dikemukakan itu terdesak maka ia perlu melalui kelulusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Dalam hal ini secara dasar, tiada halangan dan sekiranya diluluskan usul berkenaan akan diundi dalam kalangan Ahli Parlimen.

"Ini akan mewujudkan dua situasi. Pertama, tidak berjaya dengan jumlah yang menyokong tidak mendapat majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 112 orang.

"Situasi kedua, usul tersebut berjaya maka dengan erti kata lain, Perdana Menteri mendapat kepercayaan majoriti," katanya.

Sekiranya situasi pertama berlaku, Muhammad Fathi berkata, ia akan memberi implikasi terhadap Perkara 43 Pasal 4 iaitu Perdana Menteri dianggap tidak lagi mendapat kepercayaan majori ahli Dewan Rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Dewan Rakyat boleh tentukan saya terus jadi PM atau tidak'

Artikel Berkaitan:

Pas konsisten sokong Tun M, UMNO enggan campur tangan

Menurutnya, Perdana Menteri ketika itu mempunyai pilihan sama ada membubarkan Parlimen atau meletak jawatan.

"Dilihat Perkara 43 Pasal 2, pelantikan Perdana Menteri tertakluk pada satu syarat iaitu mendapat majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Timbul persoalan, adakah Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mendapat sokongan majoriti dan adakah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri yang baru?," katanya.

Sementara itu Penganalisis Undang-Undang dan Politik dari Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Datuk Dr A Halim Sidek berkata, kebiasaan pihak pembangkang akan mengemukakan Usul Tidak Percaya kepada Perdana Menteri selepas mereka hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

Bagaimanapun katanya, situasi sebaliknya berlaku ketika ini apabila Pas bercadang mengemukakan Usul Percaya kepada Dr Mahathir yang sememangnya mendapat kepercayaan dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan.

“Maka cadangan Pas itu tidak relevan kerana tiada isu kecuali sebelum ini ada Ahli Parlimen yang terlebih dahulu mengemukakan Usul Tidak Percaya kepada Perdana Menteri.

“Sekiranya berlaku dan Usul Percaya ini berjaya sekalipun, ia tidak memberi apa-apa makna kepada kerajaan.

“Ia cuma akan memperkukuhkan kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang ketika ini memang tidak goyang langsung,” katanya.

Berhubung peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anawar Ibrahim, beliau berkata, keputusan tersebut dibuat secara dalaman parti yang memerintah iaitu Pakatan Harapan (PH).

Walaupun demikian menurutnya, cadangan Pas itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan atau perundangan semasa namun dari segi amalan, ia tidak biasa dilakukan.