Lokman Adam hilang kelayakan sebagai ahli MKT: Annuar

ANNUAR
ANNUAR
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Lokman Noor Adam yang dipecat sebagai ahli UMNO sekali gus hilang kelayakan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Lokman tidak memahami Perlembagaan UMNO terutama melibatkan kedudukan dan bidang kuasa presiden serta ahli MKT yang dilantik.

Menurutnya, Lokman juga tidak bercakap benar dalam beberapa perkara selain cuba mencipta persepsi kononnya presiden parti menyalahi kuasa.

“Dia cuba melaga-lagakan Datuk Seri Najib Razak (bekas Perdana Menteri) dengan kepimpinan tertinggi UMNO.

“Datuk Seri Najib Razak telah beberapa kali mengatakan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjadi presiden dan perdana menteri semula.

“Justeru Lokman berbohong dan cuba mengelirukan selain memberi harapan palsu kepada pengikutnya,” katanya dalam laporan portal UMNO Online semalam.

ARTIKEL BERKAITAN:Lokman Noor Adam dakwa dipecat UMNO

Khamis lalu, Lokman mendakwa dirinya dipecat daripada jawatan tersebut selepas MKT UMNO mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn pada hari berkenaan.

Lokman dalam satu kenyataan menyatakan pendirian untuk setia bersama UMNO dan meneruskan perjuangan bagi menentang Pakatan Harapan (PH) serta tali barut dalam UMNO.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau akan memohon semula menjadi ahli UMNO sebaik sahaja Najib kembali menjadi presiden parti itu.

Lokman sebelum ini mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan ucapan pemimpin itu mahu UMNO bekerjasama dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad.