Pondok 'layan' ketum kena gempur

Antara barangan rampasan dalam operasi Op Wawasan di sebuah pondok di Kampung Batu 20 Jalan Padang Besar, Perlis kelmarin.
Antara barangan rampasan dalam operasi Op Wawasan di sebuah pondok di Kampung Batu 20 Jalan Padang Besar, Perlis kelmarin.
A
A
A

PADANG BESAR - Keasyikan sekumpulan lelaki yang sedang minum dan membungkus air ketum di sebuah pondok di Kampung Batu 20 Jalan Padang Besar, di sini, dikejutkan dengan operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) kelmarin.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, menyedari kehadiran anggotanya kira-kira jam 5.30 petang, kumpulan lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

"Tindakan itu berjaya digagalkan dan anggota serbuan berjaya menahan 23 lelaki termasuk 11 warga Thailand berusia lingkungan 19 hingga 67 tahun.

"Pemeriksaan di pondok terbabit menemui 119 bungkusan plastik air ketum, empat botol bersaiz 1.5 liter mengandungi air ketum, 17 botol ubat batuk dan tujuh gulung daun ketum dianggar bernilai RM1,915," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Abdul Ghani berkata, pihaknya turut menyita 21 buah motosikal pelbagai jenis selain 24 unit telefon bimbit.

Katanya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Dalam kes berlainan, PGA berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 117.8 kilogram daun ketum bernilai RM17,670 ke negara jiran selepas mengesan sekumpulan lelaki yang mencurigakan memunggah bungkusan plastik hitam dari sebuah kereta jenis Toyota Vios di hadapan pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, di sini kelmarin.

Artikel Berkaitan:

"Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan melompat masuk ke negara jiran melalui pagar sempadan yang dipotong," katanya.