Henti beremosi tentang pendidikan

A
A
A

SAYA dapat merasakan dengan jelas apa yang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad katakan dalam amanat dan aspirasi beliau di Kementerian Pendidikan di Putrajaya pada Khamis lalu.

Ini kerana saya dilahirkan dan dibesarkan dalam persekitaran di mana apa yang beliau luahkan itu menjadi sebahagian daripada proses pembesaran dan pendewasaaan saya.

Berucap sebagai Pemangku Menteri Pendidikan, Dr Mahathir menyentuh nilai-nilai hidup yang baik, kecintaan kepada ilmu, kegemaran membaca dan menulis, kecekalan dan sopan santun sebagai asas kejayaan.

Sedikit sebanyak ciri-ciri di atas menjadi penggalak dan penyumbang kepada pembentukan perwatakan, idealisme dan pencapaian saya dalam kehidupan.

Tidak syak lagi, nilai hidup positif menjadi pemangkin kepada kejayaan. Dalam bahasa yang mudah, Perdana Menteri cuba meyakinkan rakyat jelata Malaysia amnya dan bumiputera khususnya bahawa kita perlu rajin, tekun, berilmu, kreatif dan cekal.

Apabila saya mula bersekolah pada tahun 1954, saya sudah berusia tujuh tahun. Pendidikan tidak meluas seperti sekarang dan bersekolah tidak diwajibkan.

Saya dimasukkan ke Sekolah Melayu Pendang, Kedah yang terletak kira-kira 5km dari rumah. Itulah sekolah umum yang terdekat dengan rumah. Jarak 10km pergi balik bukanlah dekat dengan berbasikal.

Yang ada berhampiran rumah saya adalah sekolah pondok. Bukan sebuah tetapi dua. Sebuah mesra UMNO (Perikatan) dan sebuah lagi pro-Pas. Tok Guru masing-masing bersaudara.

Artikel Berkaitan:

Tetapi itulah Kedah sejak politik demokrasi diperkenalkan melalui Pilihan Raya Majlis Perundingan Persekutuan tahun 1955. Masyarakat Melayu desa berpecah dua di antara UMNO dan Pas.

Pada tahun-tahun berikutnya ia tambah meruncing dengan Pas mengkafirkan UMNO yang dengannya terjadilah masjid dua imam dan pulau-memulau kenduri, kematian dan sebagainya.

Di sekolah kita diajarkan akhlak, adab, disiplin, sivik dan kemahiran hidup. Segala-galanya dalam keadaan serba kekurangan.

Ketika darjah satu, kita belajar menulis di atas papan batu kerana ia lebih murah daripada menulis atas buku. Hanya setelah pandai menulis barulah kita menggunakan buku.

Walaupun peluang pelajaran terhad, kesihatan tidak baik dan kemampuan ekonomi rendah, namun disebabkan nilai-nilai hidup yang baik kita berjaya.

Ramai budak-budak kampung berjaya menguasai ilmu moden dan bahasa asing seperti Inggeris dan Arab sehingga mampu belajar di luar negara.

Maka apa yang diidamkan oleh Dr Mahathir untuk generasi sekarang dan akan datang adalah tidak lebih daripada mengembalikan idealisme dan kegemilangan pendidikan.

Sebagai wartawan muda pada tahun 1970-an dan 80-an, saya masih ingat bagaimana negara kita disanjungi (dan dicemburui) kerana kepesatan pembangunan kita.

Penguasaan bahasa Inggeris kita tidak ada tandingannya sehingga boleh dikatakan dalam setiap persidangan serantau, ketua perwakilan kita dilantik pengerusi dan pegawai kita memimpin jawatankuasa yang menerangkan kenyataan.

Malangnya, selepas itu diplomat dan perwakilan kita semakin terperosok dan dipinggirkan kerana penguasaan bahasa Inggeris mereka tidak sebaik dulu lagi.

Ini bukan soal membelakangkan bahasa Melayu atau mengutamakan Inggeris. Realiti pahit yang terpaksa kita akui ialah kita bukan sahaja lemah bahasa Inggeris malah bahasa Melayu kita pun semakin tidak menyerlah.

Kesimpulannya, kita perlu berhenti beremosi dan kembali ke alam nyata untuk menghadapi realiti dan segera memperbaiki diri sebelum peluang sedikit yang masih ada ini terlepas daripada genggaman kita buat selama-lamanya.

Wallahuaklam.

Walaupun peluang pelajaran terhad, kesihatan tidak baik dan kemampuan ekonomi rendah namun disebabkan nilai-nilai hidup yang baik kita berjaya."

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara