Mampukah Pas-UMNO bersaing atas idea progresif?

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

PAS dan UMNO telah membuktikan bahawa mereka mewakili pemikiran status-quo dalam membentuk masa depan negara.

Segala usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyambut hasrat Malaysia Baharu bersandarkan kepada pemikiran progresif dan inklusif mendapat tentangan sama ada daripada sikap mereka mahupun keputusan yang dibuat.

Saya meneliti setiap pandangan dan kritikan terhadap dasar progresif PH dan mendapati ada dua kerangka berfikir dalam kritikan orang ramai. Pertama ialah kritikan secara pelaksanaan dasar dari sudut keberkesanan, kedua ialah kritikan penolakan kepada dasar-dasar yang diperkenalkan.

Mengkritik kaedah dan keberkesanan dasar adalah perkara biasa supaya ia dapat mencapai maksud sesuatu dasar dibuat.

Penolakan kepada idea yang baik dan manfaat kepada awam adalah sesuatu yang mengundang persoalan yang lebih mendasar iaitu apakah yang membentuk cara pemikiran politik mereka? Lebih penting ialah apakah mereka punya alternatif yang lebih baik?

Di sinilah Pas dan UMNO menyerlahkan apa yang tersirat dalam acuan pemikiran mereka. Ahli Parlimen Pas dan UMNO enggan mengisytiharkan harta mereka walaupun itu adalah tuntutan terlalu mudah dan asas bagi mana-mana jawatan yang ada kepentingan awam.

Kedua, Pas dan UMNO memainkan isu perkauman dan agama sempit dalam semua keputusan dan usaha reform yang diusahakan oleh PH seperti isu Tabung Haji, pengajaran jawi dan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Rome Statute dan lain-lain.

Ketiga, Pas dan UMNO dalam usaha meraih sokongan politik sanggup memfitnah, berbohong dan memanipulasi kenyataan kerajaan demi meraih sokongan politik.

Artikel Berkaitan:

Apakah gaya pemikiran seperti ini layak membina negara? Pas dengan gaya politiknya yang lebih berkhayal di alam utopia daripada berpijak di dunia realiti mendakwa hanya Pas yang layak membawa Islam manakala UMNO yang dulunya progresif kini merangkul kejumudan dan sanggup bermainkan sentimen kaum murahan?

Pas, UMNO
Pas, UMNO

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memang bertemu dengan semua pihak termasuk UMNO dan Pas tetapi menyedari gaya berfikir UMNO dan Pas yang tidak membantu kepentingan negara yang lebih besar dalam fasanya yang kritikal hari ini, pertemuan tersebut adalah untuk membetuli kejumudan Pas dan UMNO.

Memang isu Melayu dan Islam perlu ditangani tetapi dalam kerangka pemikiran bagaimana? Itulah yang Dr Mahathir mahu jelaskan kepada UMNO dan Pas.

Begitu juga keseluruhan kepimpinan Malaysia Baharu hari ini yang terbuka mengajak semua pihak untuk sama-sama menyokong pemikiran yang progresif, inklusif dan menolak pemikiran sempit agama dan kaum supaya seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati kemakmuran bersama.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Gagasan Rahmah adalah pelantar membentuk Malaysia Baharu yang perlu didokong bersama.

Bersama tidak bermakna mencairkan identiti kepartian masing-masing tetapi bersama bermakna mengkritik agar dasar yang menguntungkan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan bukan menentang segalanya atas nama kepentingan politik sempit!

Walaupun Pas dan UMNO bergabung hendak bersaing, biarlah saingan itu mendasari idea-idea progresif ke arah perubahan yang lebih baik untuk Malaysia. Hanya dengan persaingan yang sihat ini rakyat akan menikmati dasar yang lebih menguntungkan.

* Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ialah Naib Presiden Amanah Nasional, Ahli Parlimen Parit Buntar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri