Industri pelancongan Johor terkesan akibat koronavirus

Cai Tung (tengah) ketika menyempurnakan Program Jelajah Visit Johor di Dewan Jotic di sini hari ini.
Cai Tung (tengah) ketika menyempurnakan Program Jelajah Visit Johor di Dewan Jotic di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penularan wabak koronavirus yang kini sedang meluas di seluruh dunia diakui turut memberi kesan sampingan terhadap kelancaran industri pelancongan di negeri ini.

Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung berkata, keadaan itu juga dijangka berterusan sekurang-kurangnya tiga bulan bermula sekarang.

“Impak yang dialami ini memang perkara yang tidak dapat dielakkan. Ia sekali gus akan menjejaskan kempen Tahun Melawat Johor yang sedang berlangsung.

“Berdasarkan maklum balas persatuan dan pemain industri pelancongan, memang bukan sahaja impak dari China dan Singapura tetapi untuk domestik pun orang ramai risau dan takut berkenaan isu koronavirus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menyempurnakan Program Jelajah Visit Johor di Dewan Jotic di sini hari ini.

Cai Tung berkata, buat masa ini, beliau juga sedang mendapatkan statistik lanjut berkenaan kehadiran pelancong ke Johor sama ada dari luar negara mahupun domestik semenjak isu wabak berkenaan melanda.

“Kita juga akan mengadakan pertemuan bersama pemain industri dalam tempoh terdekat, sebagai langkah jangka pendek yang perlu diambil semasa penularan koronavirus.

“Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan penjagaan diri dengan memakai topeng muka semasa berada di luar atau mengurangkan aktiviti melibatkan perhimpunan berskala besar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Program Jelajah Visit Johor merupakan usaha kerajaan negeri bersama Tourism Johor bagi menggiatkan promosi Tahun Melawat Johor 2020 melalui pelbagai pengisian, termasuk Siri Jelajah Visit Johor.

Sempena siri jelajah tersebut, kira-kira 15 kenderaan termasuk melibatkan jabatan kerajaan akan melakukan jelajah ke Perak dan Kedah.