Pembangkang sepakat sokong Tun M?

A
A
A

SEHARI dua ini ada spekulasi bahawa UMNO dan Pas akan bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti Bersatu untuk satu pakatan baharu politik.

Kata yang empunya cerita pakatan baharu itu adalah percubaan untuk mengetepikan DAP dan Amanah yang kini adalah komponen Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kerjasama Pas, UMNO dan Bersatu itu dikatakan lebih sesuai dan mantap untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PH yang sudah berkuasa dua tahun ini.

Sekiranya betul seperti yang disosak-sosekkan itu semakin menarik dan panaslah suasana politik kita.

Mungkin ada menteri tidak lagi menjadi menteri. Mungkin yang hendak menjadi PM pun tidak kesampaian.

Tetapi apa yang dikatakan kerjasama dan pakatan baharu itu setakat saat ini hanyalah cakap-cakap. Belum ada sesuatu yang jelas dan tegas.

PERIHAL Dr Mahathir sendiri tidaklah beliau terus terang atau peduli sangat mengenai cakap-cakap tentang kerjasama parti pembangkang untuk membentuk pakatan baharu.

Ketika ditanya pemberita mengenai sokongan UMNO dan Pas terhadap beliau, pemimpin berusia 94 tahun itu hanya tersenyum seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

“Saya seperti melayang,” kata beliau dan menambah siapa pun yang hendak menyokong beliau tidak ada masalah.

“Mereka kata bahawa UMNO, malah Pas sanggup bekerja dengan saya. Saya bagi tahu mereka jika mahu bekerja dengan saya, kamu sokonglah,” katanya.

Tambah Tun M: “Di Parlimen, apabila kita lakukan sesuatu yang baik, saya fikir mereka harus menyokong, bukan hanya membangkang secara buta tuli.”

Tok faham benar orang macam Tun M sudah banyak makan garam politik. Beliau tidak banyak komen, tetapi sentiasa memerhatikan keadaan.

Bagi Tun M, sekilas ikan di air sudah diketahui mana jantan mana betina...

PERIHAL spekulasi pakatan baharu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya akan berusaha untuk menjadi kerajaan menerusi pintu depan.

Katanya parti Islam itu tidak akan gopoh dalam menentukan percaturan politik, malah akan mengikut peraturan sebenar untuk membentuk kerajaan.

Kata beliau: “Proses demokrasi ini macam-macam (cara) nak masuk Parlimen pun ada banyak pintu, boleh pilih nak masuk pintu mana.”

Bercakap pasal pintu, Tok setuju dengan pemimpin Pas itu, bahawa apa-apa pun kita kena ikut pintu yang halal.

BERKATA lagi Tuan Guru bahawa dia tahu ada orang nak jadi Perdana Menteri pintu belakang.

“Insya-ALLAH Pas ikut pintu depan, mestilah ikut proses undang-undang yang betul.”

Bagi Tok kalau hendak buat kerja yang baik ikutlah cara yang baik, cara yang berakal, bukan main hentam kromo sahaja.

Memanglah ada banyak pintu, depan boleh belakang pun boleh. Tetapi orang yang siuman akan masuk pintu yang dibenarkan, bukan main tibai sahaja.

Lagi pun semua orang setuju bahawa pintu depan lebih santun berbanding pintu belakang, lebih mantap. Dan pasti lebih sedap...

AKHIR kalam, ada ura-ura untuk menghidupkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Perkara itu mula dilaksanakan semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri lebih 20 tahun dulu.

Bagi Tok kita tengok apa kemajuan dan pencapaian program tersebut semasa dilaksanakan dulu, adakah mendatangkan kebaikan kepada murid dan guru?

Kita kaji balik apa hasil program tersebut sepanjang dilaksanakan dulu. Buat apa kita menghabiskan banyak masa dan duit sekiranya matlamat tidak tercapai?