X

Kindly register in order to view this article
!

Sekadar bermonolog

A
A

BEBERAPA hari ini saya banyak bermonolog. Bermonolog tentang apa yang berlaku dan dibualkan orang di media sosial. Banyak cerita. Macam-macam cerita.

Itu yang mencetuskan satu momentum untuk bermonolog.

Cerita panas dan ramai orang memperkatakannya juga ialah tentang hamba ALLAH yang bernama Sajat ini.

Berbagai alasan, hujah dan justifikasi disajikan kepada kita. Mufti juga telah mengeluarkan pendapat mereka.

Namun begitu, saya juga ingin berkongsi satu cerita yang telah mencetuskan sesi monolog ini.

Dan cerita itu banyak pengajarannya dan boleh membuatkan kita berfikir juga. Terutama kepada orang yang mahu berfikir.

Pada tahun 1982, seorang pelajar perubatan, Sayyid Abd Allah, 19, dari Universiti Islam Cairo telah menghubungi seorang pakar psikologi bernama Dr Salwa Jirjis.

Beliau memberitahu Dr Salwa bahawa satu tekanan yang maha hebat telah melanda jiwanya.

Maka Dr Salwa telah melakukan pemeriksaan dan menyatakan bahawa Sayyid mengalami gangguan pada identiti seksualnya.

Atau secara tepatnya dipanggil psikologikal Hermaphroditism atau dalam bahasa Arabnya, khas untuk ustaz-ustaz di Malaysia ini iaitu al Khunutha an Nafisya.

Dr Salwa cuba merawatnya selama tiga tahun dengan melakukan segala yang terdaya dengan kudratnya untuk menjadikan Sayyid kembali kepada fitrah lelaki.

Namun akhirnya beliau menyerah kalah kerana tidak berjaya.

Lantas Dr Salwa merujuk Sayyid kepada Dr Izzat Asham Allah Jibrail untuk melakukan pembedahan menukar jantina.

Namun beliau tidak terus melakukan pembedahan tersebut. Tetapi sekali lagi untuk benar-benar kepastian akan penyakit itu, Dr Jibrail merujuk Sayyid kepada seorang lagi pakar psikologi bernama Dr Hani Najib.

Dr Hani Najib juga mendapat hasil penemuan yang sama dalam diagnosisnya dan mencadangkan penyelesaiannya hanyalah dengan melakukan pembedahan menukar jantina.

Dipendekkan cerita, pada 29 Januari 1988, pembedahan dapat dilakukan dengan jayanya setelah setahun dirawat dengan hormon wanita dan Sayyid telah menukarkan namanya kepada Sally, dan hidup dengan penuh gembira.

Namun bak kata pepatah peribahasa Melayu, ku sangkakan panas sehingga ke petang tetapi rupanya hujan di tengah hari.

Sally menerima cabaran dan ujian baharu pula.

Penukaran jantina beliau sebenarnya menimbulkan masalah yang disangka hanya masalah peribadi tetapi rupa-rupanya melibatkan pihak berkuasa pula.

Ini kerana Sally tidak dibenarkan untuk menduduki peperiksaan oleh Dekan Fakulti Perubatan di universitinya.

Dekannya juga tidak membenarkan Sally dipindahkan ke Fakulti Perubatan perempuan.

Kekecohan berlaku pada 4 April 1988.

Kata Sally: “Sungguh pelik bila mereka masih cuba menghukum saya. Seolah-olah saya telah melakukan kesalahan sejak saya memasuki bilik pembedahan.”

Disebabkan keributan yang berlaku, satu surat telah dihantar oleh para doktor yang terlibat pada 14 Mei 1988 meminta fatwa daripada Mufti Sayyid Tantawi.

Fatwa beliau yang bertarikh 8 Jun 1988 itu telah dirakam secara terperinci oleh Skovgaard Peterson, seorang sarjana yang meneliti institusi fatwa.

Fatwa beliau menyimpulkan, jika para doktor telah mengesahkan hanya dengan pembedahan ini sahaja caranya untuk menyembuhkan penyakitnya, maka pembedahan ini dibenarkan.

Untuk fatwa yang lebih terperinci boleh dibaca sendiri bagi orang yang rajin membacalah, di mana Sayyid Tantawi telah menjelaskan dengan secara terperinci dan ia bukan boleh dibedah dengan sewenang-wenang juga.

Dan akhirnya pada November 1989, Sally atau nama sebelumnya Sayyid Abd Allah dengan rasminya menerima sijil menyatakan beliau adalah seorang perempuan dan bebas untuk masuk mana-mana universiti.

Sekadar bermonolog dan meminjam kata-kata seorang sahabat saya, Islam ini tidaklah semberono mengherdik transgender.

*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!