Teliti sebelum melaksanakan PPSMI: Rais Yatim

Rais semasa sidang media di sini.
Rais semasa sidang media di sini.
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan perlu membuat penelitian mendalam dan menyeluruh sebelum pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah.

Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, penelitian tersebut perlu dilakukan berdasarkan latar belakang Pendidikan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Akta Pendidikan khasnya mewajibkan semua subjek mata pelajaran dalam bahasa kebangsaan. Jadi sekiranya subjek Matematik dan Sains hendak diajar dalam bahasa Inggeris, ia perlu disegmenkan tidak boleh sekali harung semuanya.

“Penelitian Seksyen 17, Akta Pendidikan tidak mendalam lagi. Akta Bangsa Kebangsaan juga begitu. Penelitian terhadap keperluan negara memang ada tetapi kemahiran berbahasa Inggeris tidak boleh dicapai hanya dengan pengajaran Sains dan Matematik.

“Murid-murid Melayu misalnya perlu terus mempelajari Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan hendak mempelajarinya, bukan menerusi dua subjek itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sepakat Anak Seni bersama Pengerusi Yayasan Budi Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim di Grand Renai di sini hari ini.

Rais berkata, semasa isu tersebut dibangkitkan pada tahun 2002, beliau berpendapat bahawa Kementerian Pendidikan perlu menjurus kepada usaha membina bangsa dan keutuhan bangsa Melayu.

“Kita perlu sentiasa terus berusaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa kebangsaan dan sebagainya. Dalam konteks itu, perancangan yang komprehensif perlu dilakukan.

“Saya mohon PPSMI tidak dilihat dari jurusan politik. Rugi kita nanti dan kita harus belajar dari beberapa negara ASEAN di mana keibundaan mereka mesti dikukuhkan.

Artikel Berkaitan:

“Saya menyarankan kedudukan bahasa Melayu sebagai tiang seri tamadun kita dan memberikan pengertian kepada tamadun kita.

ARTIKEL BERKAITAN: PPSMI: Kerajaan akan buat keputusan dalam masa terdekat, kata Mahathir

“Saya tidak mengatakan subjek Matematik dan Sains tidak boleh diajar dalam bahasa Inggeris. Kedua-duanya boleh diajar dalam bahasa Inggeris iaitu menurut segmen dan pilihan terserah kepada kementerian untuk beri perhatian secara objektif.

“Saya juga memohon supaya sebaiknya apa yang baik dalam UEC diserapkan dalam sistem nasional,” katanya.