57 kawasan di Gombak alami gangguan bekalan air

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 57 kawasan di Gombak mengalami gangguan bekalan air sementara disebabkan paip pecah di Rumah Pam Hulu Kelang pada jam 5.15 pagi tadi.

Berikutan daripada insiden itu, paras air Kolam Air Madonna turut mengalami penurunan ke paras 0.72 meter berbanding jumlah asal sekitar 4 meter.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som berkata, pihaknya giat melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang dijangka siap sepenuhnya jam 6.30 petang ini.

"Bekalan air akan disalurkan semula kepada pengguna selepas paras kolam kembali normal dan tempoh pemulihan adalah secara berperingkat bergantung kepada kedudukan kawasan terjejas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Halem berkata, sebelum insiden itu berlaku, dua kejadian paip pecah turut dilaporkan berlaku di kawasan Ampang pada Rabu lalu di Taman Ukay Heights dan jajaran paip Taman Ampang Utama.

Kawasan yang terjejas ekoran daripada insiden paip pecah tersebut.
Kawasan yang terjejas ekoran daripada insiden paip pecah tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerja-kerja baik pulih telah siap sepenuhnya pada hari sama.

"Namun sewaktu usaha pemulihan sedang dilaksanakan, kejadian pada pagi ini telah memberi kesan berterusan kepada pengguna-pengguna di kawasan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pelanggan terjejas menerusi lori-lori tangki dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan.

"Pengguna dinasihatkan agar mendapatkan bantuan air kecemasan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) di AEON Big Ampang yang dibuka bermula jam 9.30 pagi hari ini," katanya.