Dicekup tak sampai 24 jam curi duit mesin token kedai dobi

Mohd Khairiel (kanan) menunjukkan token yang dirampas.
Mohd Khairiel (kanan) menunjukkan token yang dirampas.
A
A
A

JEMPOL - Polis berjaya memberkas ahli Geng Wong Rompong tidak sampai 24 jam selepas penjenayah itu memecah masuk sebuah kedai dobi di Pusat Perniagaan Jempol di sini

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, suspek berusia 35 dan 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.20 petang pada 2 Februari lalu.

"Suspek didapati memecah masuk sebuah kedai dobi layan diri 24 jam di Jalan Serting Utama, Pusat Perniagaan Jempol kira-kira jam 1.20 pagi dan melarikan duit dalam mesin token.

"Bagaimanapun, suspek berjaya dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan nombor pendaftaran kereta digunakan suspek," katanya kepada Sinar Harian.

Antara barangan yang dirampas daripada suspek.
Antara barangan yang dirampas daripada suspek.

Menurutnya, dua suspek yang didapati aktif memecah kedai dobi dan curi sejak Januari lalu di sekitar Jempol dan Kuala Pilah itu akhirnya ditahan di kawasan Felda Serting Hilir.

"Suspek menyasarkan waktu tengah malam dan awal pagi untuk melakukan jenayah tersebut di kedai dobi 24 jam dan kedai makan terpencil.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan lanjut, suspek terlibat dalam satu kes pecah kedai dobi di Jempol dan empat kes di Kuala Pilah sebelum menjual hasil curi untuk membeli dadah jenis syabu dan heroin," katanya.

Mohd Khairiel berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah untuk tindakan seterusnya.

Dalam pada itu, seorang lelaki warga India berusia 48 tahun dipercayai pembeli barangan curi turut ditahan pada hari sama kira-kira jam 5.45 petang di Cheras, Kuala Lumpur.

Polis merampas beberapa barangan dan alatan ketika memecah kedai dobi selain wang tunai, telefon bimbit, tong gas, kenderaan yang digunakan suspek, besi pahat, pemutar skru, dan playar.

Mohd Khairiel (Kiri) menunjukkan tong gas yang dirampas selepas menahan seorang lelaki dipercayai pembeli barangan curi.
Mohd Khairiel (Kiri) menunjukkan tong gas yang dirampas selepas menahan seorang lelaki dipercayai pembeli barangan curi.