Rambang mata tengok buku

Rosidah (tengah) bersama anak-anaknya mengambil kesempatan untuk memborong buku di Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf 2020 hari ini.
Rosidah (tengah) bersama anak-anaknya mengambil kesempatan untuk memborong buku di Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf 2020 hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Jualan Gudang Awal Tahun Karangkraf 2020 terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Pelbagai bahan bacaan seperti novel, buku ilmiah, latih tubi serta al-Quran disediakan kepada pengunjung dengan harga serta diskaun istimewa sepanjang 10 hari jualan gudang berkenaan.

Rosidah Hamid, 46, dari Subang Bestari berkata, pengunjung pastinya rambang mata untuk memilih bahan bacaan yang diinginkan.

“Ini kali pertama saya dan keluarga berkunjung ke sini dan memang terkejut kerana pelbagai buku dan majalah dijual dengan harga berpatutan.

“Jualan gudang ini ibarat ‘syurga’ buat peminat buku. Memang kami tidak melepaskan peluang untuk borong pelbagai genre bahan bacaan termasuk al-Quran 'tagging' yang begitu menarik serta sangat mudah untuk ditadabbur dan difahami kerana bertanda pada bahagian ayat al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pelajar berumur 7 hingga 15 tahun berpeluang menyertai Fuiyoo Kuiz Matematik Bersama Kipas Hikmat secara percuma esok dan Ahad ini.
Pelajar berumur 7 hingga 15 tahun berpeluang menyertai Fuiyoo Kuiz Matematik Bersama Kipas Hikmat secara percuma esok dan Ahad ini.

Menurut ibu kepada 10 cahaya mata itu, dia mengambil kesempatan membawa anak-anak untuk memilih sendiri bahan bacaan kesukaan mereka.

“Sejak kecil lagi, saya galakkan mereka membaca dan saya sanggup berhabis untuk belikan buku kesukaan anak-anak. Saya percaya dengan cara ini, mereka dapat menambah ilmu pengetahuan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Lagipun di rumah kami ada mini perpustakaan sendiri dan buku-buku ini menjadi koleksi tambahan untuk bahan bacaan kami di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Buku Umum, Kraf dan Resipi, Rubiah Aksah berkata, pada jualan gudang kali ini, pihaknya turut mengadakan sesi Fuiyoo Kuiz Matematik Bersama Kipas Hikmat khas buat pengunjung berusia tujuh hingga 15 tahun.

“Sesi kuiz ini diadakan selama satu jam bermula 12 tengah hari hingga 1 tengah hari pada 8 dan 9 Februari ini. Anak-anak yang datang ke jualan gudang ini boleh menyertainya secara percuma.

“Mereka bukan sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan dalam mata pelajaran Matematik tetapi dalam masa sama, ada hadiah menarik menanti mereka yang dapat menjawab soalan dengan betul,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pengunjung yang berminat dalam dunia penulisan juga boleh menambah ilmu pengetahuan dengan menghadiri sesi perkongsian bertajuk ‘Daripada Idea Menjadi Cerita’.

“Sesi perkongsian ini dibarisi panel pengalaman seperti novelis Murni Aqila, Helmi Effendy dan Liza Nur.

“Mereka ini akan berkongsi pengalaman serta berkongsi tips berguna kepada pengunjung untuk menjadi seorang novelis yang berjaya menghasilkan karya bermutu serta kesukaan ramai.

“Bagi mereka yang berminat boleh menghadiri sesi perkongsian ini pada Ahad ini di Kompleks Karangkraf dan masuk adalah percuma,” katanya.