Selepas 20 tahun, Anwar sedia tunggu enam bulan lagi jadi PM

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia menunggu enam bulan lagi sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga yakin akan beroleh sokongan yang mencukupi di Parlimen bagi perkara itu.

Dalam satu wawancara bersama Reuters, Anwar dilaporkan berkata, tempoh enam bulan tidak menjadi masalah baginya setelah beliau sudah menunggu selama dua dekad.

“Sudah menunggu selama 20 tahun, lanjutan enam bulan lagi bukan satu masalah.

“Jika ada permintaan untuk kembali ke Parlimen, sudah pasti ia boleh dilakukan, namun PH memiliki kuasa majoriti ketika ini. Walaupun bukan ahli PH, sebahagiannya akan menyokong Perdana Menteri.

“Saya juga diberi jaminan itu. Mereka menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan akan meneruskan sokongan itu apabila saya dilantik,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini berjanji untuk menyerahkan portfolio Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh dua tahun selepas pilihan raya, namun mengubah pendirian untuk kekal sebagai Perdana Menteri, sekurang-kurangnya hingga November ini, bagi menganjurkan sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Wawancara itu, juga melaporkan bahawa Anwar bersedia melupakan kisah silam yang pahit dan sanggup memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk terus memberi sumbangan kepada negara walaupun selepasnya dilantik menjadi Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kehadiran Dr Mahathir akan membantu meningkatkan keyakinan ramai dan menyumbang kepada kestabilan serta keamanan negara.

“Tidak akan wujud sebarang perbezaan ketara dalam dasar politik. Akan wujud penekanan berbeza, namun atas kapasiti peribadi, saya mengalu-alukan kehadiran dan sumbangan beliau dalam apa jua cara," katanya.

Dalam masa sama, Anwar juga memberitahu, akan berusaha memulihkan hubungan antara India dan Malaysia yang terjejas susulan kritikan Dr Mahathir berhubung dua dasar baharu dilaksanakan New Delhi, yang menjejaskan dagangan minyak sawit antara kedua-dua negara.