Budak sembilan tahun maut, motosikal ditunggang bapa kemalangan

Keadaan motosikal mangsa dalam kemalangan di Kilometer 17, Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam pagi tadi.
Keadaan motosikal mangsa dalam kemalangan di Kilometer 17, Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam pagi tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang budak berusia sembilan tahun maut manakala abangnya parah selepas motosikal ditunggang bapa mereka terbabit kemalangan di Kilometer 17, Lebuhraya Persekutuan di sini pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa, Noor Faizdhatul Sulaiman disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam akibat parah di leher.

Abang mangsa, Muhammad Faiz Sulaiman, 11, mengalami pendarahan di kepala dan dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dan bapa mereka, Sulaiman Omar, 35, mengalami cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, kemalangan berlaku ketika motosikal jenis Yamaha Lagenda ditunggang bapa mangsa dipercayai bergesel dengan kenderaan yang masih belum dikenal pasti.

"Akibat kemalangan itu, Noor Faizdhatul meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam," katanya.

Kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 17, Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam pagi tadi.
Kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 17, Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam pagi tadi.

Beliau berkata, sehingga kini tiada saksi tampil bagi membantu siasatan dan usaha mengenal pasti kenderaan terbabit masih diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil di balai berdekatan bagi membantu siasatan.