228 kilang kitar semula sisa plastik diarah tutup

Isnaraissah Munirah (kanan) ketika menyertai operasi di sebuah kilang kitar semula sisa plastik di Bedong, Kedah hari ini.
Isnaraissah Munirah (kanan) ketika menyertai operasi di sebuah kilang kitar semula sisa plastik di Bedong, Kedah hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebanyak 228 buah kilang kitar semula sisa plastik telah diarah tutup atau ditahan operasi di seluruh negara antara Julai 2018 hingga Januari tahun ini.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Isnaraissah Munirah Majilis berkata, kilang terbabit melibatkan yang berlesen atau beroperasi secara haram yang dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.

Menurutnya, sepanjang tempoh sama sebanyak RM2.323 juta denda juga telah dikeluarkan kepada kilang yang melanggar akta tersebut.

“Sejak tempoh itu, Jabatan Alam Sekitar telah memeriksa sebanyak 405 buah kilang di seluruh negara dan sebanyak 182 buah kilang didapati beroperasi secara haram," katanya kepada media selepas operasi dijalankan ke sebuah kilang di Bedong, Kedah hari ini.

Isnaraissah Munirah berkata, di Kedah sehingga 5 Februari 2020, sebanyak 36 kilang telah diperiksa dan 28 buah didapati beroperasi secara haram.

Isnaraissah Munirah
Isnaraissah Munirah

"Tindakan kompaun telah dikeluarkan di negeri ini sebanyak RM150,000 di mana 27 syarikat telah dikenakan tindakan tutup atau tahan operasi membabitkan 19 premis di Sungai Petani," katanya.

Mengulas mengenai tinjauannya ke kilang di Bedong hari ini, beliau berkata, premis tersebut dikesan beroperasi secara haram sejak tahun lepas dan melanggar AKAS.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini kilang itu menggunakan lesen kilang bihun dan telah menukar operasi kepada aktiviti memproses sisa plastik secara haram sejak tahun lalu.

"Ketika serbuan, pekerja dipercayai telah melarikan diri menggunakan laluan belakang. Siasatan lanjut akan dijalankan sementara peralatan mesin yang digunakan akan disita," katanya.

Katanya, Mestecc melalui Jabatan Alam Sekitar komited menjalankan penguatkuasaan berterusan terhadap kilang kitar semula sisa plastik haram bagi memastikan Malaysia tidak menjadi tempat lambakan sisa plastik selain mencegah pencemaran berpunca daripada kilang plastik haram.