China 'tunai janji' perjanjian perdagangan fasa pertama

Trump ketika bersalaman dengan Timbalan Perdana Menteri China, Liu He ketika majlis menandatangani perjanjian perdagangan fasa pertama di Rumah Putih, Washington pada 15 Januari lalu. - Foto Agensi
Trump ketika bersalaman dengan Timbalan Perdana Menteri China, Liu He ketika majlis menandatangani perjanjian perdagangan fasa pertama di Rumah Putih, Washington pada 15 Januari lalu. - Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - China hari ini memaklumkan ia akan mengurangkan separuh tarif berjumlah AS$75 bilion (RM309 bilion) ke atas barangan import Amerika Syarikat (AS) bermula 14 Februari ini.

Keputusan itu dibuat sebulan selepas Beijing dan Washington memeterai perjanjian perdagangan fasa pertama untuk meredakan perang perdagangan antara kedua-dua negara tersebut.

Pengurangan cukai import tersebut akan dilaksanakan pada hari sama Washington mengambil langkah sama terhadap produk China berjumlah AS$120 bilion (RM494 bilion).

Suruhanjaya Majlis Tarif Negara memberitahu pengurangan itu akan dikenakan terhadap levi berjumlah lima dan 10 peratus yang dikenakan terhadap lebih 1,700 barangan pada September lalu.

“Langkah itu bertujuan untuk mempromosikan pembangunan ekonomi dan pembangunan stabil ekonomi serta hubungan perdagangan China-AS,” jelas suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ia berharap kedua-dua belah pihak dapat mematuhi perjanjian mereka, berusaha untuk melaksanakan kandungan yang relevan dan meningkatkan keyakinan pasaran.

Difahamkan, produk yang berdepan cukai import sebanyak 10 peratus itu termasuk makanan laut, haiwan ternakan, kacang soya, lampu tungsten untuk tujuan perubatan dan saintifik serta beberapa jenis pesawat.

Bagaimanapun, tarif ke atas barangan lain masih berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

Pengurangan cukai itu dibuat ketika China kini berdepan kekurangan sumber untuk memerangi ancaman koronavirus yang telah meragut lebih 560 nyawa di negara itu.

Selasa lalu, pegawai perdagangan AS menyatakan penularan wabak itu dijangka menangguhkan rancangan Beijing untuk membeli barangan dari Washington, namun beliau meramalkan serangan koronavirus itu hanya memberi kesan minimum kepada ekonomi di negara Uncle Sam terbabit.

Ketika ini, pertumbuhan ekonomi di China dilaporkan semakin perlahan berikutan kebanyakan syarikat dan sektor perkilangan terpaksa menggantung operasi mereka.

Di bawah perjanjian perdagangan fasa pertama itu, Beijing bersetuju untuk membeli barangan tambahan Washington berjumlah AS$200 bilion (RM824 bilion) dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sebagai pertukaran, AS juga akan mengurangkan separuh tarif sebanyak 7.5 peratus ke atas barangan China berjumlah AS$120 bilion (RM494 bilion) dan membatalkan cukai tambahan yang akan dikenakan pada Disember lalu.

Semalam, menerusi ucapan State of the Union yang disampaikan Presiden AS, Donald Trump, beliau menyifatkan hubungan AS-China mencapai tahap ‘paling baik’ ketika ini. - AFP