Majikan diberi garis panduan kendali isu koronavirus: Kula Segaran

M Kula Segaran
M Kula Segaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia hari ini mengeluarkan garis panduan buat majikan dalam mengendalikan isu berkaitan penyakit berjangkit termasuk wabak koronavirus.

Garis panduan itu dikeluarkan susulan kebimbangan dan persoalan serius yang diutarakan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia terhadap pekerjaan yang berkaitan dengan jangkitan koronavirus.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, jabatan itu telah dihujani pelbagai soalan yang menyuarakan rasa khuatir dengan pekerjaan yang berkaitan dengan virus kluster itu sejak awal tahun ini.

“Persoalan lazim adalah mengenai majikan yang menghalang pekerja untuk datang bekerja, terutama apabila pekerja itu didapati baharu sahaja pulang dari negara-negara dengan kes koronavirus seperti China, Thailand, Jepun, Hong Kong dan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.

Garis panduan itu menyenaraikan lima tindakan yang boleh diambil oleh majikan dalam menangani situasi tersebut.

Menurut Kula Segaran, majikan disaran mengarahkan pekerja untuk menjalankan pemeriksaan segera dengan perbelanjaan ditanggung oleh majikan dan pemeriksaan dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar atau pegawai perubatan yang ditetapkan mengikut Seksyen 60F Akta Pekerjaan 1955.

"Untuk memberi cuti sakit berbayar atau kelayakan hospital semasa tempoh kuarantin kepada pekerja yang dikenakan perintah kuarantin oleh pengamal perubatan berdaftar, tidak kira sama ada pekerja dikuarantin di rumah atau di hospital.

"Majikan digalakkan untuk memberikan imbuhan tambahan kepada pekerja jika perintah kuarantin melebihi cuti sakit atau kemasukan ke hospital dan memberikan gaji penuh kepada pekerja yang mendapat perintah kuarantin daripada pengamal perubatan berdaftar dari negara-negara dengan kes koronavirus kerana kewajipan rasmi atau arahan daripada majikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Majikan juga tidak boleh menghalang mana-mana pekerja daripada datang bekerja jika tiada perintah kuarantin dikeluarkan oleh mana-mana pengamal perubatan berdaftar, bagaimanapun mereka dibenar mengarahkan pekerja yang tidak sihat untuk tidak datang ke tempat kerja dengan menyediakan cuti sakit berbayar kepada pekerja.

Katanya, majikan tidak boleh mengarahkan pekerja dengan apa cara sekalipun untuk menggunakan kelayakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji semasa tempoh kuarantin. - Bernama