Peniaga sayur Rohingya didakwa rasuah polis

Mohd Rafiq (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan menawarkan dan memberi suapan kepada pegawai polis.
Mohd Rafiq (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan menawarkan dan memberi suapan kepada pegawai polis.
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga sayur warga Rohignya yang merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan menawarkan dan memberi suapan kepada seorang pegawai polis lapan hari lalu.

Tertuduh, Mohd Rafiq Faizal, 48, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pertama iaitu menawarkan suapan itu, namun dia yang menetap di Permatang Badak di sini mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu memberi suapan RM1,000 kepada pegawai polis.

Mohd Rafiq membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib dan tiada sebarang hukuman dijatuhkan ke atas tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Rafiq didakwa menawarkan suapan iaitu sebanyak RM5,000 kepada Sarjan Mohd Shahrul Ashraf Shakri sebagai dorongan untuk melepaskan rakannya, Mohd Nozir Ahmad yang ditangkap atas kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Perniagaan Sekendhend 1946 iaitu menjalankan perniagaan barangan lusuh tanpa lesen sah.

Suapan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Jenayah Blok B, Tingkat 2, Pintu 3, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada 28 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rafiq mengaku bersalah memberi suapan RM1,000 kepada Mohd Shahrul Ashraf sebagai dorongan yang sama.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi yang sama pada 31 Januari lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Hukuman penjara boleh dikenakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Sebelum itu Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin memohon agar perbicaraan kes tersebut ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan jurubahasa Myanmar.

Beliau juga tidak menawarkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Mohd Ghazali kemudian menetapkan 9 Mac depan sebagai sebutan semula kes pertuduhan akan dibacakan semula oleh jurubahasa Myanmar.