Mohd Fasiah belum nyata pendirian

Abd Rahman
Abd Rahman
A
A
A

SABAK BERNAM - Cawangan Umno Bahagian Sabak Bernam masih menanti kenyataan rasmi penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berhubung pendirian beliau sama ada setia bersama perjuangan Umno atau sudah 'beralih arah'.

Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, sehingga kini, Mohd Fasiah belum menyatakan sebarang pendirian beliau sama ada di media massa atau media sosial.

Menurutnya, meskipun tempoh seminggu diberikan Umno bahagian itu kepada Mohd Fasiah untuk menjelaskan keadaan sebenar, namun sehingga kini pemimpin itu masih terus 'berdiam diri'.

"Sehingga hari ini, kita masih belum menerima sebarang kenyataan daripada Mohd Fasiah walaupun tempoh beliau (Mohd Fasiah) memberikan penjelasan berakhir esok," katanya.

Abd Rahman berkata, terdapat juga khabar angin kononnya surat peletakan jawatan Mohd Fasiah bersama enam pemimpin Umno lain bukan ditandatangani pemimpin terbabit.

"Ketua-Ketua Umno cawangan bahagian ini berpendapat Mohd Fasiah mesti bertanggungjawab dan berterus-terang tentang perkara ini.

"Kita ingin tahu, sama ada tandatangan itu palsu atau pun tidak.

"Ini soal maruah. Sepatutnya Mohd Fasiah ambil tindakan saman terhadap pihak yang didakwa meniru tandatangan beliau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sekiranya Mohd Fasiah masih berdiam diri terhadap isu tersebut, maka ketua cawangan dan pengundi beranggapan segala dakwaan terhadap beliau keluar parti adalah benar.

"Jika benar beliau keluar Umno, kami mendesak kerusi Parlimen Sabak Bernam diserahkan semula kepada rakyat untuk diadakan PRK bagi menentukan wakil rakyat baru di Parlimen ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Fasiah gagal dihubungi untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu terbabit.

Sinar Harian 7 Januari lalu melaporkan, seluruh cawangan Umno Bahagian Sabak Bernam mendesak Mohd Fasiah mengosongkan kerusi Parlimen Sabak Bernam dimenangi beliau atas tiket Umno pada PRU14 lalu.