X

Kindly register in order to view this article
!

‘Kapal terbang’ pesara TLDM

DUA buah kapal terbang kawalan jauh yang dihasilkan daripada papan busa dan busa mampat.
A
A

IMPIAN sejak kecil untuk memiliki kapal terbang kawalan jauh bukan sahaja berjaya direalisasikan, malah daripada hobi, kini menjadi sumber pendapatan.

Sebaik bersara pada 18 Jun 2012, Anuar Nordin mula mencungkil semula hasrat lebih 20 tahun dipendamkannya dengan menempah satu set kapal terbang kawalan jauh berharga RM950.

Bekas pegawai waran pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu terpaksa melupakan impian untuk memiliki kapal terbang kawalan jauh ketika zaman kanak-kanak, ekoran tuntutan kerja setelah menyertai TLDM pada 19 Jun 1987.

“Kapal terbang yang saya beli (selepas bersara) kerap jatuh dan akhirnya hancur kerana saya tidak pernah belajar atau mempunyai pengalaman mengendalikannya,” kata anak kelahiran Johol, Negeri Sembilan itu kepada Bernama baru-baru ini.

Meskipun pada awalnya berdepan kesukaran menerbangkan kapal terbang kawalan jauh, lelaki yang berusia 52 tahun itu berkata, perkara tersebut tidak mematahkan semangatnya.

“Dari situ, saya mula bertanya rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama dan belajar cara-cara mengendalikannya. Kami juga sering bertukar-tukar pendapat,” kata bapa tunggal kepada enam orang anak ini.

Mengimbau impian zaman kanak-kanaknya, Anuar berkata, sejak kecil beliau hanya mampu melihat di kaca televisyen dan menyimpan hasrat untuk mempelajari fungsi dan kelebihan kapal terbang kawalan jauh.

“Agak mustahil bagi budak kampung untuk memiliki kapal terbang kawalan jauh. Ketika itu, lastik adalah permainan kami. Tambahan pula kos memiliki kapal terbang kawalan jauh agak mahal sehingga mencecah ribuan ringgit seunit,” katanya.

SETIAP unit kapal terbang kawalan jauh Anuar boleh mencapai kelajuan antara 70 hingga 90 kilometer sejam.
SETIAP unit kapal terbang kawalan jauh Anuar boleh mencapai kelajuan antara 70 hingga 90 kilometer sejam.

Belajar teknik, rekaan

Selain rakan, sedikit demi sedikit Anuar mula mempelajari teknik mengendalikan kapal terbang kawalan jauh di internet termasuk laman YouTube dan blog.

“Saya mengambil masa kira-kira setahun untuk mahir menerbangkannya,” katanya yang menambah pada masa sama, beliau mula menghasilkan sendiri beberapa rekaan kapal terbang kawalan jauh berkuasa elektrik.

Kapal terbang yang berjaya dihasilkan Anuar diperbuat daripada papan busa dan busa mampat.

Anuar menjelaskan, proses permulaan menghasilkan kapal terbang kawalan jauh agak renyah, namun menjadi semakin mudah apabila mengetahui selok-belok pembikinannya.

“Ia memerlukan kesenian, kreativiti dan kesabaran untuk menghasilkan kapal terbang kawalan jauh berkuasa elektrik yang menarik dan berkualiti,” katanya.

Bahan-bahan yang diperlukan dalam pembikinannya ialah gam panas, pisau, pembaris, enjin elektrik berkuasa 2,400kw, alat kawalan kelajuan elektrik, bateri, pita pelekat, batang fiber, dawai dan kertas pelekat.

“Kos menghasilkan struktur badan kapal terbang sahaja dalam anggaran RM300 sehingga RM500, manakala kos lengkap termasuk alat kawalan jauh dan bateri sebanyak RM1,000,” ceritanya.

Setiap unit kapal terbang kawalan jauh rekaan Anuar, boleh mencapai kelajuan antara 70 hingga 90 kilometer sejam jam dengan spesifikasi panjang 1.21 meter. Beratnya dianggarkan antara 700 hingga 800 gram.

Menurut Anuar, kesemua model kapal terbang terbang kawalan jauh yang direka beliau adalah mengikut model pesawat pejuang dan model pertama dicipta ialah Sukhoi Su-35 yang menelan kos sebanyak RM950.

SEBUAH kapal terbang kawalan jauh yang diterbangkan oleh Anuar.
SEBUAH kapal terbang kawalan jauh yang diterbangkan oleh Anuar.

Model lain seperti Jet Mitsubishi F-22, Jet Nova, Eurofighter Typhoon, MiG, Polaris serta beberapa model lain. Kapal terbang kawalan jauh rekaan Anuar itu dijual di laman media sosial Facebook.

Dari segi kuantiti yang mampu dibuat Anuar, beliau boleh menghasilkan sebanyak 20 hingga 30 unit kapal terbang mainan itu dalam tempoh sebulan, namun Anuar lebih gemar melakukannya secara santai.

“Dalam masa sehari, jika betul-betul fokus, saya boleh hasilkan dua unit kapal terbang kawalan jauh yang mempunyai corak,” katanya menambah model pesawat Sukhoi Su-35 dan Mitsubishi F-22, antara model yang sering mendapat sambutan.

Disebabkan keistimewaannya, Anuar yang juga anggota sebuah badan bukan kerajaan, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti Negeri, Negeri Sembilan sering dijemput ke sekolah untuk berkongsi tentang inovasi dan membuat demonstrasi penerbangan kapal terbang kawalan jauh.

Menurut Anuar, aktiviti itu memberi banyak manfaat kepada pelajar, bukan sahaja dapat mengelak mereka terjebak dalam aktiviti kurang sihat, malah membantu menetapkan cita-cita sama ada sebagai juruterbang atau jurutera penerbangan.