Tayar terbuang beri pulangan lumayan

A
A
A

ARAU - Usaha pasangan suami isteri di Kampung Padang Siding di sini yang menjadikan tayar terbuang sebagai kerusi dan meja ternyata berbaloi kerana mampu menerima pulangan lumayan.

Noor Azizi Abu Bakar, 40, dan Siti Aida Ramli, 36, menjadikan media sosial sebagai sumber untuk mendapatkan idea bagi menghasilkan set kerusi yang cantik dan menarik.

Noor Azizi berkata, penghasilan set kerusi itu adalah cetusan idea daripada seorang kenalan dari kedai tayar.

"Kenalan itu turut mengajar saya cara menebuk lubang dan menyulam tali. Saya juga banyak merujuk cara membuat kerusi daripada internet," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Noor Azizi menebuk lubang pada tayar bagi membolehkan tali dipasang
Noor Azizi menebuk lubang pada tayar bagi membolehkan tali dipasang

Bagaimanapun katanya, tidak mudah membuat kerusi berkenaan kerana dia mencuba hampir sepuluh kali sebelum benar-benar berpuas hati dengan hasilnya.

Peniaga itu juga nekad berusaha sehingga akhirnya mampu menghasilkan sebuah kerusi menggunakan tiga biji tayar kereta manakala penyandar dihasilkan menggunakan tayar motosikal yang dipotong mengikut kesesuaian.

"Pada tahun 2016 saya dan isteri mula menjual kerusi yang dihasilkan. Satu set mempunyai lima kerusi dan sebuah meja dijual pada harga RM400 dan sehingga kini lebih 50 set sudah terjual," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noor Azizi berkata, pada permulaannya dia mengambil masa sehari untuk menyiapkan satu unit tayar sebelum benar-benar mahir.

"Saya hanya memerlukan masa tidak sampai tiga hingga empat jam untuk menyiapkan satu set kerusi meja yang ditempah oleh pelanggan," katanya.

kerusi yang siap dihasilkan
kerusi yang siap dihasilkan

Berkongsi cara menghasilkan kerusi, kata Noor Azizi, dia perlu menebuk 32 lubang pada tayar dan menggunakan tali jenis nilon serta paku bagi memastikan keselesaan mereka yang duduk di kerusi berkenaan.

Seiring dengan perkembangan semasa, Noor Azizi turut mengolah tayar terpakai itu mengikut kehendak pelanggan.

Kata Azizi, set kerusi tayar hasil tangannya yang mendapat permintaan sehingga ke selatan banyak membantu dirinya menjana pendapatan keluarga.

Noor Azizi memasabg tali nelon pada tayar sebagai tempat duduk
Noor Azizi memasabg tali nelon pada tayar sebagai tempat duduk