Impak isu gaji tertunggak Liga Malaysia

Laporan Sinar Harian berhubung tindakan FAM terhadap tiga pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji pemain.
Laporan Sinar Harian berhubung tindakan FAM terhadap tiga pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji pemain.
A
A
A

NASIB berbeza dialami tiga pasukan – Melaka United, Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) – sebelum tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 disingkap secara rasmi pada 28 Februari ini.

Tatkala Melaka United dan Kelantan boleh menghela nafas lega kerana terlepas daripada sebarang hukuman, PDRM pula terpaksa mengharungi kempen awal musim ini dengan dikenakan pemotongan tiga mata.

Malah, natijah yang lebih buruk bakal berlaku kepada skuad The Cops itu apabila mereka boleh dikenakan hukuman disingkir daripada saingan Liga-M andai gagal melunaskan tunggakan gaji pemain.

Situasi itu sudah pasti kurang enak dilihat selepas arena bola sepak Malaysia pernah dikejutkan dengan insiden yang sama tahun lalu. Pernah dilabel antara gergasi utara tanah air, Perlis akhirnya ‘terhumban’ angkara masalah gaji itu.

Dalam hal ini, PDRM perlu segera menyelesaikan beberapa masalah berbangkit sekiranya mereka tidak mahu dikenakan hukuman lebih berat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hukuman pertama sudah dilaksanakan selepas tarikh 31 Januari lalu dengan pemotongan tiga mata, kini FAM sudah pasti sedang memantau lebih dekat situasi yang berlaku di kem PDRM.

Jika masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji atau setidak-tidaknya mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai pasukan sehingga 28 Februari ini, enam mata pula akan dipotong. Paling perlu dielak PDRM adalah 31 Mac – tarikh akhir ditetapkan FAM jika tidak mahu terus disingkir daripada kempen Liga-M.

Sebolehnya, bukan hanya para penyokong PDRM, malahan peminat bola sepak negara mahu melihat skuad The Cops terus menggegar Liga-M, apatah lagi mereka akan membuat penampilan di pentas Liga Super musim ini.

Artikel Berkaitan:

Dengan persiapan rapi yang dilakukan bagi menghadapi kempen Liga-M 2020, pihak pengurusan PDRM FA juga pastinya tidak mahu melihat Sang Saka Biru tersungkur begitu sahaja.