Derita dua pekerja Indonesia berakhir

Dua pekerja warga Indonesia itu mendakwa tidak dibayar gaji dan dikerah bekerja melebihi 12 jam sehari oleh majikan mereka.
Dua pekerja warga Indonesia itu mendakwa tidak dibayar gaji dan dikerah bekerja melebihi 12 jam sehari oleh majikan mereka.
A
A
A

GEORGETOWN - Derita dua pekerja wanita warga Indonesia yang selama ini tidak dibayar gaji dan dikerah bekerja melebihi 12 jam sehari oleh majikan berakhir apabila mereka diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang di sini, pagi tadi.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, serbuan dibuat jam 10 pagi itu hasil risikan dan maklumat orang awam mengenai nasib malang dua pekerja wanita berkenaan yang sudah tidak tahan lagi bekerja di situ.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati salah seorang daripada mereka telah bekerja dengan majikan berkenaan sejak empat tahun lalu dan dijanjikan dengan bayaran gaji RM1,000 sebulan namun sekali pun dia tidak pernah menerima gaji.

Muhamad Husni berkata, seorang lagi pekerja baru dua bulan diambil kerja di premis berkenaan dan mereka mendakwa langsung tidak dibayar gaji malah dikurung di premis tersebut serta tidak boleh berhubung dengan sesiapa di luar.

"Daripada keterangan yang diberikan kedua-dua mangsa, mereka dikatakan hanya diberi makanan dan hanya dibenarkan tidur atas lantai di tingkat bawah premis tersebut dan jika majikannya mendapati mangsa cuba berhubung dengan sesiapa, mereka akan dimarahi serta diberi amaran.

"Selain perlu melakukan kerja lebih masa, mereka mendakwa perlu menjaga dan memandikan anjing peliharaan majikan selain beberapa kerja lain," katanya ketika dihubungi di sini.

Dua pekerja warga Indonesia yang berjaya diselamatkan.
Dua pekerja warga Indonesia yang berjaya diselamatkan.

Muhammad Husni berkata, siasatan mendapati dua wanita Indonesia itu masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial namun ejen yang membawa mereka menghantar ke premis tersebut untuk bekerja di situ bersama 13 lagi pekerja yang merupakan warga tempatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua wanita itu telah tinggal lebih masa, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

"Kita telah mengarahkan majikan kedua-dua wanita ini iaitu lelaki berusia 50 tahun untuk hadir ke pejabat Imigresen Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Sementara itu, dalam operasi yang sama Muhamad Husni berkata, pihaknya menahan tujuh wanita warga Thailand berusia 24 hingga 35 tahun kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan bekerja di sebuah pusat urut di Jalan Machang Bubok di Bukit Mertajam.

Katanya semasa operasi itu, wanita warga Thailand terbabit sedang leka mengurut pelanggan termasuk dua lelaki warga Bangladesh dan mereka turut ditahan kerana tidak ada dokumen perjalanan diri.

"Selain itu, dalam operasi di kedai masakan tomyam dan pondok pengawal sebuah kilang di Bukit Minyak, kami turut menahan dua lelaki Thailand bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, dua lelaki Nepal dan Filipina serta seorang lelaki India.

Mereka berusia empat hingga 50 tahun itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial, tiada permit kerja dan tinggal lebih masa," katanya.