[VIDEO] Treler bawa jentera berat rempuh jejantas

A
A
A

GEORGETOWN- [DIKEMASKINI] Jejantas di Jalan Pengkalan Weld mengalami kerosakan teruk selepas dirempuh sebuah treler yang membawa muatan jentera berat petang tadi dan akan diturunkan pada malam ini juga.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, bagi melancarkan kerja membawa turun binaan tersebut, jalan di sekitar kawasan berkenaan akan ditutup sehingga jam 1 pagi nanti.

Menurutnya, jejantas dengan ketinggian 5 meter itu didapati tidak selamat untuk digunakan dan perlu dibina semula untuk keselamatan awam.

"Jalan dari Bulatan Imigresen, Jalan Tun Syed Sheikh Barakbah/ Persimpangan Jalan Padang Kota Lama sehingga ke Jeti Tan sudah ditutup sejak jam 5 petang tadi.

"Ia bagi memudahkan kerja-kerja membawa turun jejantas ini dilakukan. Kita menjangkakan ia ditutup sehingga 1 atau 2 pagi ini. Jejantas ini rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi atas faktor keselamatan," katanya ketika dihubungi tadi.

Terdahulu, sebuah treler yang membawa muatan jentera berat dengan melebihi paras ketinggian telah merempuh sebuah jejantas di Jalan Pengkalan Weld di sini, tadi.

Kejadian berlaku di hadapan Terminal Feri Pangkalan Raja Tun Uda kira-kira jam 4.15 petang tadi ketika treler dari Tanjung Bungah itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santung berkata, susulan kejadian itu, aliran trafik di kedua-dua hala hadapan Terminal Feri Pangkalan Raja Tun Uda sesak teruk berikutan satu laluan terhalang.

Artikel Berkaitan:

"Kren itu dipercayai tersangkut pada jejantas berkenaan ketika melalui kawasan tersebut dan pemandu treler berusia 30-an terbabit tidak menyedari ia tersangkut. Dia meneruskan perjalanan hingga jejantas tersebut tertarik ke hadapan sebelum pemandu treler berhenti kerana kenderaannya tidak dapat bergerak lagi.

"Kren itu terus tersangkut pada jejantas dan pemeriksaan awal mendapati jika kren tersebut dialihkan kemungkinan besar jejantas berkenaan akan roboh," katanya yang turut dihubungi Sinar Harian tadi.

Beliau berkata, laluan dan jalan di hadapan terminal feri ditutup dan hanya satu lorong dibuka untuk pengguna kenderaan dan bas keluar masuk untuk menaiki feri.

"Treler itu melepasi tiga jejantas iaitu Jejantas Flat Tanjung Tokong, Jejantas Jalan Sultan Ahmad Shah dan Jejantas Lebuh Faquhar namun tersangkut di Jejantas Pengkalan Weld. Pemandu telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Timur Laut untuk siasatan lanjut.

"Hasil semakan, dia mempunyai 15 saman namun hanya dua belum dijelaskan. Saman melibatkan pandu laju dan halangan lalu lintas. Bagaimanapun, pemandu tersebut tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencingnya negatif," katanya.

Tiada kemalangan jiwa atau melibatkan kecederaan mangsa dilaporkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.