X

Kindly register in order to view this article
!

Pusat jantung pertama di utara Johor

Boon Chye (tengah) melawat Pusat Jantung Baharu Pantai Hospital Batu Pahat selepas pelancarannya semalam.
A
A

BATU PAHAT - Pantai Hospital Batu Pahat menjadi hospital pertama yang mempunyai kemudahan rehabilitasi kesihatan jantung di bahagian utara negeri ini.

Ia berikutan tiada hospital lain yang mempunyai kemudahan makmal jantung invasif atau makmal catherization (Cathlab) di kawasan berkenaan, selain di Johor Bahru dan Melaka.

Ketua Pegawai Operasi Pantai Hospital Batu Pahat, Dr Kamal Amzan berkata, kemudahan dengan kos sebanyak RM4.5 juta itu menyediakan rawatan perubatan yang komprehensif dan lebih awal kepada pesakit.

“Kami berhasrat menjadi pusat perubatan perintis yang menawarkan perkhidmatan dan teknologi baharu di Johor. Pembukaan makmal ini tepat pada masanya kerana berlaku peningkatan pesakit dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Ketika ini individu yang mengalami penyakit jantung perlu melalui perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam untuk ke Johor Bahru atau Ayer Keroh, Melaka bagi mendapatkan rawatan segera.

“Kelewatan ini boleh memburukkan lagi keadaan. Inisiatif yang disediakan ini lebih cepat dan tidak perlu melengahkan masa,” katanya ketika berucap pada pelancaran Pusat Jantung Baharu Pantai Hospital Batu Pahat di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Kamal (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Boon Chye pada majlis pelancaran Pusat Jantung Baharu Pantai Hospital Batu Pahat semalam.
Kamal (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Boon Chye pada majlis pelancaran Pusat Jantung Baharu Pantai Hospital Batu Pahat semalam.

Dr Kamal Azman berkata, pusat jantung berkenaan turut menyediakan bantuan 24 jam bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan kecemasan.

Menurutnya, kemudahan itu dilengkapi dengan teknologi yang canggih bagi membolehkan rawatan lebih cepat dan tepat, selain diletakkan di bawah seliaan tiga pakar perubatan yang berpengalaman.

“Cathlab ini akan dilengkapi dengan pengesan Philips Azurion C12. Ia adalah sistem terapi yang berpandukan pengimejan paling terkini untuk membolehkan pakar kardiologi menentukan tekanan dan aliran darah dalam jantung, sampel darah hati, memeriksa injap jantung serta arteri,” kata beliau.

Sementara itu, Boon Chye berkata, penyakit berkaitan jantung masih kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia dan menyumbang kepada 22 peratus daripada semua jumlah kes kematian.

“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kematian berkaitan penyakit jantung pada tahun 2010 ialah seramai 9,371 orang, manakala jumlah kematian pada tahun 2018 meningkat kepada sebanyak 18,967 kes.

“Pelancaran Pusat Jantung di Pantai Hospital Batu Pahat ini adalah inisiatif yang baik. Saya harap penyakit berkaitan jantung boleh dikurangkan, bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!