Malaysia bawa pulang 107 individu dari Wuhan

Seramai 107 individu yang dibawa pulang dari Wuhan, China selamat tiba di negara ini dengan menaiki pesawat khas AirAsia di Air Disaster Unit (ADU), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
 -Foto Bernama
Seramai 107 individu yang dibawa pulang dari Wuhan, China selamat tiba di negara ini dengan menaiki pesawat khas AirAsia di Air Disaster Unit (ADU), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia hari ini membawa pulang 107 individu yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan pasangan serta anak-anak mereka yang terkandas di bandar raya Wuhan yang disekat pergerakan keluar dan masuk oleh kerajaan China sejak 23 Jan lepas susulan penularan wabak koronavirus sejak 23 Januari.

Pemindahan 88 rakyat Malaysia dan 19 waris bukan warganegara Malaysia itu selesai dalam masa lebih 14 jam selepas pesawat AirAsia khas yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA2) pada jam 3.50 petang semalam kembali ke KLIA bersama mereka pada jam 6 pagi tadi.

Turut berada di dalam pesawat itu adalah enam pegawai kedutaan Malaysia di Beijing yang telah pergi ke Wuhan untuk membantu menyelaras pemindahan dari bandar raya dan kawasan berdekatan di wilayah Hubei.

Penerbangan itu berlepas dari KLIA2 dengan 12 anak kapal dan lapan pegawai misi yang terdiri daripada enam pegawai Kementerian Kesihatan, seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Nasional (Nadma) dan seorang pegawai Kementerian Luar Negeri.

Pesawat ke Wuhan itu turut membawa 500,000 sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China.

Dua buah bas yang membawa sebahagian rakyat Malaysia yang pulang dari Wuhan China yang terdiri daripada individu dan keluarga ke Pusat Pemantauan hari ini. -Foto Bernama
Dua buah bas yang membawa sebahagian rakyat Malaysia yang pulang dari Wuhan China yang terdiri daripada individu dan keluarga ke Pusat Pemantauan hari ini. -Foto Bernama

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Nadma berkata, sebaik tiba, semua 107 individu yang itu dibawa dengan bas ke kawasan 'Air Disaster unit' di KLIA untuk saringan kesihatan.

“Dua daripada jumlah 107 individu itu gagal dalam proses saringan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selebihnya, 105 individu dibawa ke pusat pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan di mana mereka akan menjalani kuarantin selama 14 hari.

Koronavirus yang berlaku di Wuhan telah merebak ke sekurang-kurangnya 27 negara di seluruh dunia. Seramai 427 orang telah meninggal dunia dan lebih daripada 20,000 kes telah disahkan sehingga hari ini.

Dua daripada kematian berlaku di luar China, satu di Filipina dan satu lagi di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah mengisytiharkan wabak koronavirus sebagai darurat kesihatan global.

Dr Wan Azizah berkata, 141 orang telah mendaftar dengan kedutaan Malaysia di Beijing untuk dibawa keluar dari Wuhan, namun 34 tidak dapat ke lapangan terbang kerana masalah logistik.

"Sebab utama ialah mereka berada di luar Wuhan dan menghadapi kesukaran untuk sampai ke bandar raya atau ke lapangan terbang," katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Luar akan terus berusaha menangani perkara itu.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin pula ketika dihubungi Bernama berkata, pihak kedutaan itu akan terus memantau rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan.

Beliau berkata, beberapa individu daripada 34 rakyat Malaysia yang masih berada di Wuhan itu menghadapi masalah logistik untuk sampai ke lapangan terbang manakala sesetengahnya pula memilih untuk terus berada di bandar raya itu.

Bangunan yang menjadi tempat kuarantin buat sebahagian rakyat Malaysia yang pulang dari Wuhan China yang terdiri daripada individu dan keluarga di Pusat Pemantauan hari ini. -Foto Bernama
Bangunan yang menjadi tempat kuarantin buat sebahagian rakyat Malaysia yang pulang dari Wuhan China yang terdiri daripada individu dan keluarga di Pusat Pemantauan hari ini. -Foto Bernama

"Bagi mereka yang memilih untuk terus berada di sana, kita akan terus memantau keadaan mereka melalui aplikasi WeChat. Setakat ini, mereka semua dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata, pihak kedutaan sedang dalam proses mengesan rakyat Malaysia di lain-lain tempat lain di China dan menggalakkan mereka mendaftar dengan pejabat konsular Malaysia di negara itu. - Bernama