'Spin class' tidak mudaratkan kesihatan, cuma perlu tahu kemampuan diri
SHAH ALAM - Rasa ingin mencuba yang tinggi dalam diri mendorong seorang pempengaruh media sosial menyertai 'spin class’ atau kelas berbasikal kali pertama tanpa melakukan sebarang persediaan.
Berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Sofea Shra memaklumkan dia telah disahkan menghidap penyakit Rhabdomyolysis selepas menyertai kelas tersebut baru-baru ini.
Pada masa sama, dia mengakui bahawa tiada sebarang penyelidikan terlebih dahulu sebelum menyertai kelas berkenaan kerana tidak menyangka ia akan memberi kesan hingga memudaratkan kesihatan.
"Minggu lepas saya teman kawan pergi kelas berbasikal dan untuk pengetahuan, saya bukan orang yang selalu bersenam tapi saya nak cuba sebab nampak macam seronok.
"Salah saya sebab tak kaji langsung pasal sukan itu, selepas habis kelas kaki saya sakit sangat-sangat tapi saya ingatkan sakit otot sahaja.
"Jadi saya pergi jumpa doktor sebab sampai tak boleh tidur malam kerana peha saya sakit sangat. Doktor hanya beri suntikan tahan sakit tapi saya masih rasa kesakitan," jelasnya.
Mengulas lanjut, Sofea Shra memaklumkan, dia tergerak hati untuk melakukan hantaran di aplikasi X berkaitan situasi berkenaan dan mendapat respons daripada instruktor untuk dapatkan rawatan lanjut.
Ujarnya, kebiasaan sakit pada bahagian otot hanya mengambil masa dua hari sahaja jika sudah lebih berkemungkinan disebabkan oleh Rhabdomyolysis.
"Jadi saya terus buat pencarian berkaitan penyakit tersebut dan ciri-ciri yang dipaparkan, sama dengan keadaan saya ketika itu. Jadi saya ambil keputusan untuk pergi jumpa doktor sekali lagi.
"Tetapi sebaik saja saya maklum berkaitan sakit berkenaan, doktor hanya ketawakan saya sebab sakit tersebut hanya atlet yang buat sukan 'extreme' saja akan hadapi.
"Saya tidak putus asa, saya ikut kata hati untuk pergi juga ke hospital dan lakukan ujian darah," ujarnya.
Tambah Sofea Shra, sebaik sahaja keputusan dikeluarkan dia berasa sangat terkejut kerana rekod 'Creatine Kinase (CK)' miliknya melebihi had 300 iaitu 55,851.
Menurutnya, susulan daripada itu dia terus dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut kerana keadaan kesihatan sangat teruk dan jika ditangguh ia boleh mengakibatkan kematian.
"Saya memang takut sangat ketika itu dan hanya mampu menangis. Hari kedua keputusan CK saya naik iaitu 61,400 tetapi turun semula kepada 38,900 sebab saya banyakkan minum air.
"Alhamdulillah, saya sekarang dalam fasa pemulihan dan dah keluar dari hospital. Kejadian ini jadi pengajaran untuk diri saya, betul apa kata orang kesihatan itu mahal.
"Saya tidak dapat menggunakan kaki saya dengan betul selama seminggu dan apa yang saya boleh fikir adalah saya perlu lebih bersyukur walaupun sekecil-kecil perkara," katanya.