Pemuda maut rempuh kereta belok mengejut
KULAI - Seorang pemuda maut apabila motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kulai-Kota Tinggi, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 6.51 petang ketika pemuda berusia 25 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC itu gagal mengelak sebuah kereta yang membelok secara tiba-tiba.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berusia 75 tahun dari arah Kulai ke menghala ke Kota Tinggi membelok ke kanan secara tiba-tiba.
"Keadaan itu mengakibatkan penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi kereta tersebut.
"Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal terbabit tercampak tengah jalan dan mengalami cedera parah sebelum meninggal dunia di lokasi sementara pemandu dan penumpang kereta berusia 64 tahun, cedera ringan," katanya.
Menurutnya, jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, untuk bedah siasat.
"Pemandu dan penumpang wanita berusia 64 tahun turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.
"Kes disiasat bawah Sekysen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Seng Lee berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.