Ajal pulang kerja, pemuda maut dihempap pokok tumbang

Keadaan motosikal ditunggang mangsa di Jalan Industri Kelemak pada awal pagi Khamis. Gambar kecil: Ikhmal Hakimi
Keadaan motosikal ditunggang mangsa di Jalan Industri Kelemak pada awal pagi Khamis. Gambar kecil: Ikhmal Hakimi
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas motosikal ditunggangnya dihempap pokok tumbang di Jalan Industri Kelemak di sini, pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.37 pagi, mangsa, Ikhmal Hakimi Hasrul Rizuan,18, yang menunggang motosikal jenis Benelli meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke rumahnya di Taman Lendu Bakti Masjid Tanah.

"Ketika tiba di tempat kejadian, sebatang pokok telah menghempap atas tangki minyak motosikalnya dan terkena mangsa.

Pasukan bomba sedang melakukan kerja-kerja pembersihan mengalihkan pokok tumbang yang meragut nyawa mangsa.
Pasukan bomba sedang melakukan kerja-kerja pembersihan mengalihkan pokok tumbang yang meragut nyawa mangsa.

"Akibat kejadian itu, mangsa terjatuh di atas permukaan jalan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut Ashari berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati kenderaan yang terlibat masih berada di lokasi dan belum dialihkan, malah kedudukan motosikal dengan mangsa sejauh lebih kurang 30 meter.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Fadil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.37 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dikejarkan ke lokasi.

"Pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati sebatang pokok tumbang menghempap mangsa dan motosikalnya dan operasi tamat pada jam 7.50 pagi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!