Penagih gagal larikan barang kemas RM4,000

Suspek berjaya ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis. -FOTO: IHSAN PEMBACA
Suspek berjaya ditahan oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis. -FOTO: IHSAN PEMBACA
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penagih dadah ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah dan mencuri barangan kemas bernilai RM4,000 di Bertam Perdana di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian 11.30 pagi itu, pemilik rumah mendapat panggilan daripada jirannya menyatakan seorang lelaki tidak dikenali berada di kawasan rumahnya.

Menurutnya, pemilik rumah dan isterinya yang berada di tempat kerja ketika kejadian meminta jirannya mengawasi pergerakan lelaki tersebut.

"Pemilik rumah dan isterinya keluar bekerja pada jam 8 pagi, namun tidak mengunci pagar rumahnya. Suspek telah memasuki kawasan rumah tersebut lalu meletakkan motosikalnya di garaj. Siasatan di tempat kejadian mendapati suspek masuk ke dalam rumah itu dengan menggunakan satu gumpal kunci.

"Suspek kemudiannya masuk ke dalam rumah dan telah mencuri barang kemas bernilai RM4,000 yang disimpan di dalam almari bilik utama. Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap dua penduduk taman tersebut ketika mahu keluar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mangsa baharu menyewa rumah tersebut lima bulan lalu.

"Siasatan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah dan enam rekod narkotik. Ujian awal saringan air kencing juga mendapati suspek positif syabu.

"Kes ini telah tular di media sosial dan saya berterima kasih kepada orang awam kerana membantu polis menahan suspek tanpa mencederakannya. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: