Kes solar Rosmah: Pendakwaan serah semula dokumen

Rosmah Mansor
Rosmah Mansor
A
A
A

KUALA LUMPUR — Pihak pendakwaan dalam kes isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa meminta dan menerima rasuah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, telah menyerahkan semua dokumen utama berkaitan kes itu kepada pasukan pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu perkara itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad semasa sebutan kes berkenaan hari ini.

Mohd Dusuki turut memaklumkan bahawa status permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi belum lagi diketahui dan memohon satu tarikh sebutan baharu.

“Hari ini ditetapkan untuk serahan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah dan untuk mengetahui status permohonan untuk pindah kes ke Mahkamah Tinggi.

Permohonan telah dibuat tetapi belum ada keputusan memandangkan ada beberapa isu yang dibangkitkan pembelaan berkaitan permohonan. Mohon satu tarikh sebutan baharu,” kata Mohd Dusuki dan Azman menetapkan 15 Feb untuk sebutan semula kes.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah mengesahkan menerima kesemua dokumen itu pada Rabu lepas dan sedang menelitinya.

Di luar mahkamah, ditanya mengenai perkara itu Mohd Dusuki berkata antara dokumen utama yang diserahkan ialah tender-tender dan surat-surat berkaitan projek solar berkenaan.

Akberdin juga memberitahu media bahawa pihaknya telah menerima sebanyak 300 muka surat dokumen daripada pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 November tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187,500,000 dan menerima rasuah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini Rosmah turut diwakili peguam Datuk Jagjit Singh dan hadir bersama Rosmah adalah suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelaki mereka Mohd Ashman. - Bernama