Sematan-Lundu berpotensi sebagai tapak pelancaran satelit - Abang Johari

Abang Johari (tiga dari kiri) melakukan pelepasan Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2024 di Waterfront Sarawak hari ini. Foto Bernama
Abang Johari (tiga dari kiri) melakukan pelepasan Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2024 di Waterfront Sarawak hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan Sematan-Lundu yang terletak di selatan Sarawak berpotensi sebagai tapak pelancaran satelit.

Beliau berkata, pemilihan lokasi itu mengambil kira kedudukan kawasan berkenaan yang lebih dekat dengan garisan Khatulistiwa serta ia sebagai hab industri aeroangkasa negara.

"Dalam mesyuarat pembangunan fizikal negara dipengerusikan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baru-baru ini, kita (Sarawak) telah dikenal pasti sebagai tempat melancarkan satelit kerana dekat dengan garisan Khatulistiwa.

"Jadi kita kenal pasti kawasannya mungkin (kawasan) dekat Lundu, Sematan kerananya lebih dekat dengan garisan Khatulistiwa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kembara KASIH Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2024 di Tebingan Kuching hari ini.

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri giat bekerjasama antaranya dengan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia sebagai persediaan membangunkan tenaga kerja bagi inisiatif itu.

Abang Johari berkata, Kolej Universiti i-CATS dan Universiti Teknologi Swinburne diberi mandat untuk menubuhkan pusat pengajian atau fakulti baharu dalam bidang berkaitan aeroangkasa.

"Selain itu, kita tahu satelit itu adalah merakam data, jadi kita berkerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor. Kita rakam data kajian geologi Jabatan Tanah dan Survei,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Sarawak dicadang sebagai hab industri aeroangkasa negara susulan potensi besar dalam industri itu terutamanya dalam mewujudkan tenaga mahir bidang berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!