3 juta sarung tangan disumbang ke Wuhan

Petugas kesihatan memeriksa suhu orang awam wanita bagi menangani penularan wabak koronavirus. - Foto Getty Images
Petugas kesihatan memeriksa suhu orang awam wanita bagi menangani penularan wabak koronavirus. - Foto Getty Images
A
A
A

KUALA LUMPUR - Supermax Corporation Bhd akan menyumbang sebanyak dua juta pasang sarung tangan gred perubatan ke Wuhan, China bagi membantu usaha pekerja penjagaan kesihatan tempatan menangani wabak 2019 novel koronavirus (2019 - nCoV).

Pengeluar sarung tangan getah itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, sumbangan tersebut adalah tambahan kepada satu juta sarung tangan yang telah diedarkan oleh pejabat tempatannya di sana dan pengedar di China.

Supermax berkata, ia akan menghantar satu juta pasang sarung tangan ke Wuhan hari ini menerusi penerbangan carter khas yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), manakala bakinya akan dihantar ke bandar raya yang terletak di bahagian tengah China itu pada penerbangan carter seterusnya yang dijadualkan pada 5 Februari.

“Ini merupakan sebahagian daripada janji yang dibuat oleh ahli-ahli Majlis Penggalakan Eksport Getah Malaysia (MREPC) dan Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia untuk menyumbang 18 juta pasang sarung tangan perubatan ke Wuhan,” kata syarikat itu.

Menurut syarikat itu, Malaysia boleh membuat sumbangan penting dalam usaha membendung wabak tersebut kerana negara ini merupakan pengeluar sarung tangan perubatan terbesar dunia.

"Kami bersimpati dengan keadaan getir yang dihadapi mereka yang terlibat, terutamanya penduduk di Wuhan dan ingin menyumbang dalam usaha memerangi wabak tersebut. Sumbangan sarung tangan itu merupakan sebahagian daripada usaha kemanusiaan kami," kata Supermax.

Syarikat itu berkata ia akan terus menyertai dalam usaha kemanusiaan di seluruh dunia di lokasi yang ia beroperasi setiap kali apabila berlaku bencana dan serangan wabak.

Sebelum ini Supermax telah banyak menyertai bantuan bencana di seluruh dunia antaranya seperti tragedi Taufan Katrina, Wabak Ebola, SARS, H1N1 dan kini koronavirus. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Malaysia sumbang 18 juta sarung tangan ke Wuhan

Artikel Berkaitan: