Jangan 'over' sensitif dan cepat ʻkoyakʼ
MERAK Jalanan rasa nak tergelak dengan isu penyampai radio Hot FM, KJ yang dikatakan mempersenda dengan meniru gaya ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kecoh media sosial dibuatnya. Sampai ada yang nak menggerakkan kempen boikot stesen radio tersebut.
Sebenarnya, tak perlu dijadikan isu pun.
Kenapa terlalu sensitif sangat dengan ayat tersebut.
Itu memang ucapan Anwar semasa jadi ketua pembangkang dulu.
Kemudian KJ mengambilnya sebagai tagline apabila namanya muncul antara 10 calon undian tertinggi dalam sebuah anugerah paling popular anjuran sebuah akhbar.
Aksi parodi yang dimainkan oleh Khairy itu bagi Merak Jalanan hanyalah sebahagian daripada hiburan.
Ia parodi untuk berlawak, bukan untuk menyakiti hati sesiapa. Bukan nak ‘menganjing’ sesiapa.
Pada pendapat Merak Jalanan, kalau kita terlalu berlebihan dalam memberi reaksi pun akan membuatkan kita kelihatan mudah mudah ‘koyak’.
Merak Jalanan masih ingat seorang pelawak menggunakan suara Anwar dalam satu pertandingan lawak.
Anwar tak melenting malah memberi pujian.
Pernah juga satu kumpulan muzik guna watak Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri dalam sebuah anugerah lagu. Tak jadi isu pun.
Mungkin ada yang ketawa dengan kartun hidung besar ‘Mahafiraun’ yang merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Pun tak jadi isu.
Cuma mungkin ramai yang ‘trigger’ apabila yang menyebutnya ialah seorang bekas menteri di sebuah stesen radio popular.
KJ juga mempunyai saluran podcastnya sendiri, Keluar Sekejap yang begitu popular sekarang ini.
Kita kena relaks dan tidak cepat melenting.
Jangan nanti ada yang kata, Anwar relaks saja tapi orang keliling yang lebih-lebih.
Memetik satu kalimah, dunia hari ini penuh dengan pelbagai bentuk jenaka dan parodi.
Jadi jangan terlalu serius dan ‘over sensitif’ nanti memakan diri.