Dulu malu sekarang bangga

Yobi Folendra bersama anak, Muhammad Danial Danish dan isteri, Nur Farzana.
Yobi Folendra bersama anak, Muhammad Danial Danish dan isteri, Nur Farzana.
A
A
A

IPOH - Mempunyai nama unik yang berbeza dengan orang lain sesuatu yang menarik.

Itu pandangan Yobi Folendra Yusrizal, 27, yang mengakui bangga membawa nama tersebut biarpun kelihatan pelik.

Bercerita mengenai nama tersebut, Yobi Folendra menjelaskan ia merupakan ilham arwah neneknya yang mahukan nama lain daripada yang lain.

Mengakui sering kali diejek sewaktu kecil di sekolah, dia pernah meluahkan rasa kecewa kepada neneknya kerana memberikan nama unik itu.

“Masa di sekolah kawan-kawan selalu ejek kata saya orang Indonesia. Memang rasa malu pun ada sebab nama itu. Bila selalu kena ejek saya rasa nak marah nenek kenapa bagi saya nama itu.

“Tapi yang bagusnya cikgu-cikgu semua kenal saya sampai sekarang sebab tak ada sesiapa di sekolah nama Yobi Folendra," katanya kepada Sinar Harian.

Nama mudah ingat

Yobi Folendra yang bekerja sebagai peniaga buah-buahan berkata, dia berasa bertuah dengan nama tersebut ketika berurusan dalam perniagaan.

“Disebabkan nama itu, saya mempunyai ramai rakan kerana hanya ada seorang saja yang bernama Yobi Folendra

Artikel Berkaitan:

“Pergi mana-mana orang dah kenal nama saya. Dari situ saya dapat ramai kawan kerana tak ada sesiapa yang ada nama macam ini.

“Sekarang barulah saya rasa bangga dan berterima kasih kepada nenek kerana memberikan nama ini,” katanya yang merupakan anak jati Ipoh.

Yobi Folendra meniaga buah-buahan di pasar malam sekitar Ipoh.
Yobi Folendra meniaga buah-buahan di pasar malam sekitar Ipoh.

Dia berkata, kebanyakan kenalan memanggilnya Indra tetapi dalam kalangan adik-beradik dan saudara-mara memanggilnya sebagai Obi.

Orang Filipina

Jika sewaktu kecil dianggap berasal daripada Indonesia, Yobi Folendra berkata, pernah berlaku peristiwa ketika di Jabatan Pendaftaran Negara ada pegawai bertanyakan sama ada dia mempunyai keturunan dari Filipina atau sebaliknya.

“Ada juga yang tanya pada saya sama ada saya ini orang Sabah. Mungkin disebabkan perkataan Folendra itu, tetapi sebaliknya saya memang anak jati Perak. Lahir dan membesar di Manjoi, Ipoh. Ibu bapa saya juga warganegara Malaysia.

“Pengalaman-pengalaman berkaitan nama ini tidak dapat saya lupakan dan ia juga menyedarkan saya bahawa nama itu juga melambangkan identiti kita,” katanya.

Yobi Folendra berkata, dia tidak begitu terbeban untuk membawa namanya kerana ia tidak melambangkan atau mewakili sesiapa, cuma dirinya sahaja.

Yobi Folendra bersama ibu bapa dan adik-beradik yang lain.
Yobi Folendra bersama ibu bapa dan adik-beradik yang lain.

Namun, anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia tetap perlu menjaga nama tersebut dengan penuh tanggungjawab.

Berkahwin dengan Nur Farzana Mat Tarmizi, 26, Yobi Folendra dikurniakan seorang cahaya mata, Anak Muhammad Danial Danish, yang kini berusia 8 tahun dan tinggal di Taman Pinji Mewah di sini.

Nama cerminan identiti

Dalam pada itu, Yobi Folendra menyifatkan nama seseorang itu menjadi cerminan identiti peribadi seseorang.

Jelasnya, akhlak seseorang itu perlu selari dengan nama yang diberikan apatah lagi nama-nama mereka itu terdiri daripada tokoh atau individu yang mulia.

Dia secara peribadi sedih melihat individu yang mempunyai nama-nama indah namun terlibat dengan kegiatan jenayah atau melakukan perbuatan tidak bermoral.

“Nama-nama ini juga melambangkan agama kita. Kalau ramai banduan nama Islam itu sangat tidak baik dan menjadi tanggungjawab setiap orang menjaga untuk nama baik dirinya sendiri dan agama,” katanya.