Kempen PRN harus bebas perbuatan cerca, hina orang lain - Anwar

Anwar berucap pada Program Kita Hulu Kelang bersama Perdana Menteri di Padang Rumah Pangsa PKNS AU2 Taman Keramat malam ini. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Program Kita Hulu Kelang bersama Perdana Menteri di Padang Rumah Pangsa PKNS AU2 Taman Keramat malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan masyarakat supaya tidak terikut dan terpengaruh dengan kempen mencerca dan memaki hamun orang lain sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, bibit-bibit ke arah perjalanan kempen tanpa adab dan nilai murni sudah mula dilihat dengan beliau sendiri menjadi bahan cercaan oleh setiap pemimpin pembangkang, termasuk oleh mereka yang mendakwa mewakili parti berteraskan Islam.

Anwar berkata, tindakan memaki hamun beliau atau mana-mana pimpinan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan tidak akan memberi kesan terhadap usaha membantu rakyat dan memajukan negara sebaliknya perlakuan negatif itu akan dinilai, seterusnya dihukum rakyat dalam PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini.

"Pilihan raya ini bukan medan untuk memaki orang tetapi medan untuk kita menerangkan mengenai perancangan ekonomi dan hal berkaitan kepentingan rakyat.

Apa yang kita nampak keadaan menjelang PRN ini mula tajam dan hangat dengan tiada lagi batas adab, nilai murni sebaliknya penuh dengan maki hamun terutamanya kepada saya selaku Perdana Menteri," katanya ketika berucap pada majlis "Kita Hulu Klang Bersama PMX” di padang Rumah Pangsa PKNS AU2, Taman Keramat dekat sini hari ini.

Anwar berkata, beliau akur dengan dirinya yang sentiasa dijadikan bahan kempen pembangkang namun, keadaan dan cara kempen parti lawan, khususnya daripada parti yang berteraskan Islam ketika ini amat jauh berbeza berbanding semasa dipimpin oleh Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Sehubungan itu, beliau mahu seluruh rakyat Selangor memberikan sokongan kepada mana-mana calon daripada PH atau Barisan Nasional (BN) yang diketengahkan Kerajaan Perpaduan dalam PRN ini sebagai isyarat kepada pembangkang bahawa rakyat menolak cara berpolitik yang tidak menguntungkan negara itu.

"Dengan sokongan dan dukungan penduduk Hulu Klang serta seluruh rakyat Selangor, kita harus bagi mesej jelas kepada pembangkang yang perbuatan mencerca dan memaki hamun lawan bukan lagi pilihan.

"Sebaliknya kita buktikan hanya kerajaan yang sedaya upaya berusaha meningkat upaya rakyat sebagaimana kerajaan Selangor diberi sokongan dan dipilih walau siapapun calon yang pimpinan pilih," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengulangi komitmen dan tekad membebaskan negara dari belenggu rasuah dengan tidak berkompromi walau siapa pun pelakunya.

Anwar berkata, walaupun pembangkang menuduhnya dengan pelbagai dakwaan negatif namun apabila dicabar mereka tidak dapat menunjukkan bukti yang beliau dan kerajaan menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri.

"Alhamdulillah, selepas tujuh bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, tiada satu kes rasuah melibatkan menteri Kabinet dilaporkan dan ini disahkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan, antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya. - Bernama