UCSI University ungguli hari pertama acara renang

Pasukan perenang UCSI University bergambar bersama selepas majlis penyerahan pingat SUKIPT UUM 2024 di Pusat Aquatik UUM, Sintok pada petang Rabu.
Pasukan perenang UCSI University bergambar bersama selepas majlis penyerahan pingat SUKIPT UUM 2024 di Pusat Aquatik UUM, Sintok pada petang Rabu.
A
A
A

UCSI University berjaya mengumpul lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada hari pertama acara renang Sukan Universiti Pendidikan Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024 yang membuka tirai pada Rabu.

Lima pingat emas tersebut diperolehi melalui acara 200 meter (m) gaya bebas wanita oleh Mandy Lim Jia Jia dengan masa 2:57:12s, 200m gaya bebas lelaki (Khiew Hoe Yean 1:52:50s), 100m kuak kupu-kupu lelaki (Low Zheng Yong 0:56:75s), 800m gaya bebas wanita (Teo Sze Hui 11:12:29s, dan acara berkumpulan lelaki 4 x 200m gaya bebas dengan catatan masa 8:06:47s.

Pengurus Pasukan UCSI University, Khiew Tze Yean berkata, kejayaan meraih lima emas, satu perak dan satu gangsa pada hari pertama acara renang ini disifatkan satu perkembangan yang baik dan berada pada landasan untuk mencapai sasaran mereka.

Menurutnya, motivasi semua pemain berada pada tahap terbaik dan beliau berharap momentum berkenaan dapat diteruskan pada hari seterusnya.

“Sekurang-kurangnya lapan hingga sembilan emas disasarkan oleh kami pada SUKIPT kali ini. kami berharap dapat mencapai sasaran itu kerana kami memiliki perenang yang berpotensi dalam pasukan.

"Melalui semangat yang kami perolehi pada hari pertama ini, kami mampu menambah lagi bilangan pingat untuk acara pada hari seterusnya acara renang ini," katanya semasa ditemui di Pusat Aquatik UUM, Sintok.

Walaubagaimanapun, UCSI University dicabar sengit Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) yang memperolehi tiga pingat emas, tiga perak dan dua gangsa, serta Sunway University yang juga memperolehi tiga pingat emas.

Pengurus Pasukan TAR UMT, Ko Chun Shong berkata, tiga emas yang dimenangi pasukannya adalah dari perenang wanita, termasuk acara berganti-ganti (relay) 4 x 200m bebas wanita yang dianggap satu kejutan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau berharap momentum berkenaan mampu diteruskan pada hari kedua dan ketiga acara renang dan atlet wanita mereka menjadi sandaran untuk terus mengenggam pingat emas.

"Atlet wanita menjadi harapan buat kami dalam acara renang ini. Kami berharap bagi acara seterusnya esok (Khamis) dan lusa (Jumaat) akan dapat meningkatkan lagi keupayaan bagi kutipan pingat.

"Kami akan teruskan usaha memburu pingat seterusnya namun pada waktu sama kami juga cuba mengelak sebarang tekanan bagi memastikan atlet kami tampil lebih baik," ujarnya.

TAR UMT memperolehi pingat emas melalui acara 100m kuak kupu-kupu wanita oleh Ho Keesha dengan masa 1:13:03s, 50m kuak dada wanita (Lovell Wong Hsiao Thang 0:35:53) dan juga acara berpasukan 4 x 200m gaya bebas wanita dengan catatan masa 10:55:63s.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!