Dua rakan selamatkan enam sekeluarga terima sijil Hero Bomba

Wahiddin (kiri), Mohd Azwan (kanan) dan Qairulizwan menerima surat penghargaan hero bomba pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar pada Selasa.
Wahiddin (kiri), Mohd Azwan (kanan) dan Qairulizwan menerima surat penghargaan hero bomba pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar pada Selasa.
A
A
A

PARIT - Tindakan berani dua lelaki menyelamatkan enam sekeluarga hampir lemas dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Selama -Bagan Serai dekat Bagan Serai, 24 Ogos lalu mendapat penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

Dalam kejadian itu, Mohd Azwan Basirun, 38, dan Qairulizwan Zulkefly Amin, 31, bertindak terjun mendapatkan enam individu termasuk empat kanak-kanak selepas kereta jenis Proton Iriz dinaiki mereka hampir tenggelam.

Menceritakan kembali kejadian itu, Mohd Azwan berkata, jeritan dan tangisan kanak-kanak meminta tolong menyebabkan mereka tanpa berfikir panjang terus terjun ke dalam parit.

"Kami menaiki motosikal ternampak sebatang tiang elektrik telah patah sebelum terdengar suara kanak-kanak menjerit kuat menyebabkan kami berpatah balik mencari arah suara tersebut.

"Mereka kelihatan panik sambil memegang bayi menyebabkan kami terjun walaupun air ketika itu sangat dalam. Tidak lama kemudian kereta mereka perlahan-lahan tenggelam," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak bulan September 2024 di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar di sini pada Selasa.

Sayani (dua dari kiri) menyampaikan surat penghargaan hero bomba kepada Qairulizwan dan Mohd Azwan (dua dari kanan).
Sayani (dua dari kiri) menyampaikan surat penghargaan hero bomba kepada Qairulizwan dan Mohd Azwan (dua dari kanan).

Pada majlis itu, mereka berdua bersama pesara kerajaan, Wahiddin Bahaudin, 58, menerima sijil penghargaan Hero Bomba yang disampaikan oleh Pengarah Bomba Perak, Sayani Saidon.

Mohd Azwan berkata, mereka tidak menyangka video bantuan yang dihulurkan itu tular di media sosial hingga mendapat perhatian warganet.

Artikel Berkaitan:

"Penghargaan ini adalah satu pengiktirafan yang tidak disangka malah ahli keluarga mangsa pun ada menghubungi kami kerana berjaya selamatkan cucu-cucu mereka.

"Kejadian itu bukanlah yang pertama kerana difahamkan penduduk, ada juga kereta terbabas masuk parit dua hari sebelum kejadian. Jadi, kami akan lebih berhati-hati setiap melalui kawasan tersebut," katanya.

Sinar Harian melaporkan kemalangan sekitar jam 3.45 petang itu berlaku apabila kenderaan dinaiki enam individu termasuk empat kanak-kanak berusia setahun hingga 13 tahun cuba mengelak sekumpulan monyet sebelum terbabas ke dalam parit dipenuhi air.

Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Selama menuju ke Bagan Serai berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum dibawa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Parit Buntar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!