323 titik panas kepala air, banjir dikenal pasti di Perak

Sayani ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak bulan September 2024 di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar di Parit pada Selasa.
Sayani ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak bulan September 2024 di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar di Parit pada Selasa.
A
A
A

PARIT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah mengenal pasti 323 titik panas membabitkan bencana kepala air dan banjir di negeri ini.

Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, daripada jumlah itu, 21 lokasi titik panas merupakan kawasan berisiko berlakunya kejadian kepala air di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar serta Larut, Matang dan Selama (LMS).

"Antara lokasi dikenal pasti adalah Burmese Pool, Lata Kekabu, Hutan Lipur Ulu Kenas, Gunung Suku, Lata Ulu Chepor, Kledang Saiong, Air Terjun Batu Berangkai dan Sungai Sahom.

"Selain itu, 302 lokasi banjir pula melibatkan Bagan Serai, Bukit Gantang, Changkat Jering, Chikus, Changkat Jong, Chenderong Balai, Klebang, Kuala Dipang, Ulu Slim dan Slim Village," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak bulan September 2024 di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar di sini pada Selasa.

Sayani memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak bulan September 2024 di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar di Parit pada Selasa.
Sayani memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan pada Perhimpunan Bulanan JBPM Perak bulan September 2024 di Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar di Parit pada Selasa.

Menurut Sayani, pihaknya telah mengambil langkah awal keselamatan berikutan lokasi menjadi tumpuan musim cuti persekolahan selain negara dijangka berada pada fasa akhir Monsun Barat Daya.

"Setiap hujung minggu anggota akan turun ke lokasi ini untuk beri penerangan dan kesedaran selain mengedar risalah kepada orang awam berhubung aspek keselamatan di air ini. Kita juga akan memastikan aset-aset seperti bot dan kenderaan utiliti berada dalam keadaan sedia.

Artikel Berkaitan:

"Orang awam juga boleh menggunakan Life Saving Appliances (LiSA) sebagai langkah tambahan keselamatan yang disediakan di lapan lokasi titik panas ini. Peti ini mengandungi peralatan seperti pelampung, jaket keselamatan, ‘throw bag rope’ selain dilengkapi dengan siren," katanya.

Tambah Sayani, skala penyelamatan dan skop risiko yang perlu ditangani oleh Bomba makin meluas hinggakan pemantauan lokasi baru perlu dilakukan.

Jelas beliau, insiden kepala air yang menyebabkan jambatan runtuh di Slim Village, Slim River bulan lalu bukanlah lokasi titik panas di bawah pemerhatian mereka.

"Pembangunan ketara yang tidak selari dengan sistem perparitan ataupun tanaman semula ladang, kawasan perumahan yang mana prasarana tidak mencakupi pembangunan baru merupakan faktor berlakunya banjir kilat selain mengganggu struktur alam semula jadi.

"Faktor inilah Bomba perlu berkolaborasi dengan agensi lain untuk sama-sama memberi input, membuat gerak kerja yang dinamik supaya kelancaran bagi operasi-operasi penyelamatan boleh dilakukan dengan baik dan lancar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!